PENYELEWENGAN dana boleh dikatakan bukan isu baharu di negara ini. Dahulu, kita sering mendengar kisah dana awam disalah guna ahli politik atau orang kerajaan dan akhirnya dikaitkan dengan projek gajah putih, kronisme dan pembelian aset mewah. Namun, budaya ini seolah-olah berpindah ke tempat pula, iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
NGO selama ini sering dianggap sebagai pejuang pembela rakyat, penyambung kerja kebajikan dan suara mereka tertindas, kini ada pertubuhan dicemari dengan penyelewengan dengan mempromosi dan memperalatkan ‘kerja amal’, tetapi sebenarnya demi mengaut keuntungan sendiri.
Sebagai kuasa ketiga yang sepatutnya menjadi jentera pelengkap kerajaan melaksanakan agenda sosial, NGO kadangkala disalah guna segelintir pihak bagi kepentingan peribadi. Lebih menyedihkan, dana disumbang orang ramai atas dasar kepercayaan dan keikhlasan, digunakan secara tidak telus dan melanggar tujuan asal.
Penyelewengan ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk daripada penggunaan dana untuk kepentingan peribadi, pemalsuan resit, kutipan derma tanpa permit, sehinggalah pengaliran wang ke entiti tidak berkaitan. Semua ini bukan sahaja merosakkan imej NGO secara keseluruhan bahkan menghakis kepercayaan rakyat.
Sebagai contoh, kes penyelewengan dana RM70 juta satu pertubuhan sebelum ini, amat menjentik keprihatinan umum untuk bertanya bagaimana ia boleh berlaku. Terkini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan penyelewengan dana kira-kira RM26 juta milik sebuah NGO.PauseNextMute

Modus operandi menyeleweng dana ini hampir sama seperti berlaku dengan pertubuhan kemanusiaan itu apabila mereka memindahkan wang ke dalam akaun peribadi, membeli barang kemas, kereta, tanah dan rumah, termasuk membeli mata wang kripto.
Kita percaya, masalah ini berpunca akibat kelemahan tadbir urus operasi, tiada audit bebas atau pemeriksaan berkala, pengurusan kewangan lemah, tiada sistem pemantauan dalaman dan ketidaktelusan dalam perbelanjaan. Walaupun ada beberapa akta boleh digunakan untuk mendakwa mereka menyeleweng dana, ia seperti tidak menggerunkan pelakunya.
Negara mempunyai Akta Pertubuhan 1966, Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) dan Akta SPRM untuk mengambil tindakan terhadap pelaku, tetapi pokok pangkalnya ia akan kembali kepada barisan pemimpin NGO itu sendiri.
Undang-undang semata-mata dilihat masih tidak mencukupi untuk mengekang gejala ini, maka ia perlu disusuli dengan penguatkuasaan tegas dan pemantauan berterusan. Kerajaan menerusi Polis Diraja Malaysia, Pendaftar Pertubuhan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan SPRM perlu meningkatkan lagi pemantauan program pendanaan awam serta perbelanjaan dibuat NGO bagi mengurangkan peluang berlaku ketirisan atau penyelewengan dana.
Kita percaya dan mengakui peranan besar NGO mendukung kebajikan masyarakat, terutama dalam bidang pendidikan, kesihatan serta bantuan bencana. Namun, kelangsungan kepercayaan ini hanya mampu dikekalkan jika NGO memainkan peranan memastikan dana awam diurus secara amanah dan berintegriti.

