Hubungan erat rahsia kekuatan Harimau Malaya

JAKARTA: Empat perlawanan tanpa bolos gol menjadi antara pencapaian terbaik Harimau Malaya dalam kempen Piala ASEAN FIFA 2026, namun kekuatan sebenar skuad negara dikatakan hadir daripada hubungan erat dan sikap saling membantu antara pemain.

Pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, pemain perlu berbangga dengan pencapaian itu tetapi tidak boleh terlalu selesa kerana pasukan perlu terus bekerja keras dan bersedia menghadapi cabaran lebih besar pada masa depan.

“Ya, pasukan kita mencipta satu rekod yang terbaiklah. Empat perlawanan tanpa bolos gol, tidak dibolosi satu mata pun, rekod yang terbaik.

“Kita kena bangga dengan apa pencapaian kita, tetapi kita perlu bekerja keras kerana pasukan di hadapan kita, kita tidak tahu, dan kita perlu bersedia daripada sekarang,” kata Cheng Hoe.

Menurut Cheng Hoe, kekuatan skuad negara sepanjang kejohanan banyak didorong semangat kebersamaan pemain yang saling menghormati tanpa mengira status, pengalaman atau usia.PlayNextMute

“Kita nampak dari segi kekuatan pasukan adalah dalam bonding mereka. Kita hormat satu sama lain, sama ada pemain bertaraf bintang, pemain bertaraf pengalaman atau pemain muda.

“Kita membantu satu sama lain, remind each other. Ini adalah rahsia kejayaan pasukan,” katanya.

Cheng Hoe turut memberikan penghargaan kepada barisan kejurulatihan yang bekerja keras memastikan segala persiapan pasukan berjalan lancar sepanjang kempen, sambil menegaskan cabaran lebih besar menanti Harimau Malaya selepas ini.

“Pada masa sama, saya kena berterima kasih kepada kakitangan kejurulatihan. Mereka bekerja siang dan malam untuk memastikan semuanya berjalan lancar untuk kali ini kerana cabaran besar ada di depan mata kita.

“Kita perlu bekerja keras dan pastikan satu hari nanti kita berjaya di atas pentas yang lebih baik, lebih jauh lagi,” tambahnya.

Harimau Malaya menamatkan kempen di tempat ketiga selepas menewaskan Vietnam 1-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, semalam menerusi jaringan Fergus Tierney pada minit ke-61.

Kemenangan itu memastikan Malaysia menutup kempen dengan rekod tanpa kalah selain tidak dibolosi dalam empat perlawanan.

Dalam aksi final di venue sama, Indonesia pula muncul juara Piala ASEAN FIFA 2026 selepas menewaskan Thailand 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga tamat masa tambahan.

Menerusi penentuan sepakan penalti itu, Sarach Yooyen gagal menyempurnakan sepakan ketiga Thailand selepas percubaannya terkena tiang, manakala sepakan keempat Nattapong Sayriya diselamatkan Emil Audero untuk membolehkan Indonesia mengesahkan kemenangan dan menjulang trofi Piala ASEAN FIFA 2026.