Jerebu rentas sempadan: Malaysia pilih pendekatan diplomasi, kekal landasan ASEAN

KUALA LUMPUR: Malaysia masih berpegang kepada pendekatan diplomasi dengan Indonesia dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan sejajar dengan kaedah yang diamalkan bersama ASEAN.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata pendekatan Malaysia sedikit berbeza dengan Singapura dalam menangani isu itu dan lebih cenderung untuk memastikan perjanjian sedia ada di peringkat serantau, melalui Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) dilaksanakan secara lebih aktif.

“Malaysia dari segi kaedah bersama ASEAN kita masih lagi menekankan diplomasi. Bagi Singapura pula, pada pandangan pihak kita, tindakan perundangan mereka itu sebenarnya sedikit sebanyak ada menjejaskan hubungan diplomatik antara negara (Singapura dan Indonesia).

“Justeru, pendirian dan komitmen Malaysia adalah ke arah diplomasi dan pengukuhan perjanjian sedia ada di peringkat ASEAN tetapi dilaksanakan secara teratur dan lebih aktif lagi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) sama ada Malaysia boleh bekerjasama dengan Singapura atau mengikut tindakan negara itu dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan.PlayNextMute

Sebelum ini, hubungan antara Singapura dan Indonesia dilaporkan tegang susulan isu jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan di Indonesia serta keputusan Jakarta mengurangkan bekalan gas ke republik itu.

Pada 24 Oktober lalu, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura mengeluarkan notis kepada 10 syarikat berdaftar di Singapura yang menjalankan perniagaan minyak kelapa sawit dan perhutanan bagi mendapatkan maklumat mengenai kemungkinan kaitan mereka dengan kebakaran hutan di Indonesia serta pencemaran jerebu rentas sempadan.

Semalam, Parlimen Singapura meluluskan pindaan terhadap Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA), dengan perubahan utama, termasuk peningkatan denda maksimum serta pengukuhan kuasa siasatan dan penguatkuasaan terhadap entiti yang bertanggungjawab menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) sama ada kerajaan bercadang untuk menyemak semula AATHP dengan mekanisme penguatkuasaan lebih tegas, Syed Ibrahim berkata, perjanjian itu kekal sebagai kerangka kerjasama serantau untuk menangani pencemaran jerebu rentas sempadan, terutama melalui pemantauan, perkongsian maklumat, amaran awal, pencegahan dan penyelarasan tindakan semua negara anggota ASEAN.

Bagaimanapun, katanya, perjanjian itu mempunyai kekangan yang mana ia tidak memperuntukkan mekanisme penguatkuasaan antara negara, mahu pun mekanisme tuntutan ganti rugi.

“Perjanjian ini mendasarkan kepada prinsip kerjasama, konsensus, penghormatan terhadap kedaulatan negara, dengan tanggungjawab penguatkuasaan terhadap pihak yang menyebabkan kebakaran tertakluk kepada bidang kuasa serta undang-undang domestik negara berkenaan.

“Sebab itu, sebarang cadangan untuk memperkenalkan mekanisme penguatkuasaan atau tuntutan memerlukan penelitian menyeluruh daripada aspek perundangan, bidang kuasa, hubungan diplomatik serta yang tidak kurang pentingnya adalah pembuktian saintifik,” katanya.