Sunway Construction menang kontrak RM1.74 bilion bina pusat data di Serendah

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Sunway Construction Group Bhd, Sunway Construction Sdn Bhd (SCSB) memeterai perjanjian pembinaan bagi kontrak kerja di Serendah, Selangor bernilai RM1.74 bilion.

Menurut kumpulan pembinaan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, projek itu meliputi kerja-kerja pembinaan, penyiapan, pengujian dan pengoperasian pusat data berskala besar.

Skop kerja termasuklah pembinaan struktur teras dan bangunan luaran, infrastruktur kampus serta kerja-kerja pemasangan mekanikal, elektrik dan paip (MEP).

“Projek ini akan bermula pada suku keempat 2026 dan dijadualkan siap pada suku keempat 2028,” menurutnya.

Sunway Construction memaklumkan projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2026 dan seterusnya, tanpa mengambil kira keadaan yang tidak dijangka.PauseNextMute

“Projek ini dijangka tidak memberikan sebarang impak ketara secara serta-merta kepada pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan tahap kadar hutang Sunway Construction bagi tahun kewangan berakhir 2026.

“Sehingga tarikh pengumuman ini, kumpulan telah meraih pesanan baharu bernilai RM9.8 bilion pada tahun kewangan semasa, termasuk projek itu, menjadikan jumlah nilai perolehan kontrak terkumpul sebanyak RM13.4 bilion,” menurutnya.

-BERNAMA