Kediaman Najib dikawal ketat

KUALA LUMPUR – Beberapa pergerakan kenderaan keluar masuk dikesan di pekarangan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, di sini, bermula jam 8 pagi tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, dua kenderaan yang dilihat keluar masuk kawasan itu dipercayai atau difahami milik ahli keluarga Najib yang hadir untuk melawatnya.

Kediaman berkenaan turut dikawal ketat anggota polis dengan pita keselamatan kuning yang dipasang bagi menghalang orang awam daripada memasuki kawasan tersebut.

Kawalan polis di laluan menuju kediaman itu telah bermula sejak petang semalam.

Selain itu, sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) yang dipercayai membawa Najib dari Penjara Kajang ke kediamannya malam tadi turut dilihat keluar dari pekarangan rumah berkenaan petang tadi.

Bagaimanapun, difahamkan Najib tidak berada di dalam kenderaan berkenaan ketika ia meninggalkan kawasan tersebut.

Setakat tinjauan yang dilakukan sehingga petang tadi, tiada kelibat orang awam atau penyokong Najib dilihat berkumpul di pekarangan rumah berkenaan.

Najib dilaporkan tiba di kediamannya kira-kira jam 9.30 malam semalam bagi menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah.

Perkembangan itu susulan keputusan Hakim Datuk Aslam Zainuddin yang membatalkan perintah pelepasan selepas pembayaran denda bertarikh 6 November lalu sebelum menggantikannya dengan perintah bersyarat baharu.

Menerusi perintah berkenaan, Najib perlu menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu. – MalaysiaGazette