PBB: Lebih 150,000 khemah tunggu kebenaran Israel untuk masuk ke Gaza

NEW YORK: Lebih 150,000 khemah yang dibeli rakan kongsi kemanusiaan dan negara anggota masih berada di luar Semenanjung Gaza sementara menunggu kebenaran Israel untuk dibawa masuk ke wilayah itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq, memberitahu pemberita dalam satu taklimat media bahawa jumlah itu termasuk 117,000 khemah daripada Jawatankuasa Bantuan Mesir di El Arish, lapor Anadolu Ajansi.

Ketika ditanya mengenai perkara yang diperlukan bagi membolehkan khemah berkenaan dibawa masuk ke Gaza, Haq berkata: “Akhirnya, kami memerlukan kerjasama pihak berkuasa Israel untuk memberikan kebenaran supaya kami dapat membawa masuk khemah berkenaan.”

“Sebahagian daripada masalah ini berkaitan dengan kos pengangkutan tetapi dalam kes ini, isu utamanya ialah kebenaran yang diperlukan dan kami perlu memastikan khemah berkenaan dapat dibawa masuk,” katanya.

Ketika ditanya berapa cepat khemah berkenaan boleh sampai kepada penduduk yang memerlukan selepas kebenaran diberikan, Haq berkata, ia bergantung kepada “sejauh mana kami mendapat akses ke lintasan sempadan” serta kelancaran prosedur untuk membawa masuk khemah itu ke Gaza.PlayNextMute

“Namun, khemah itu sememangnya sudah berada di seberang sempadan dan kami bersedia membawanya masuk sebaik sahaja mendapat kebenaran,” katanya.

Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, berkata tindakan menunggu pembentukan kerajaan baharu Israel “bukan alasan yang boleh diterima” bagi kelewatan membawa masuk bekalan penting untuk musim sejuk ke Gaza.

“Menteri-menteri luar dan rakan kongsi telah memberi jaminan sokongan kepada saya, tetapi mereka juga berulang kali menyatakan bahawa kemajuan sukar dicapai sehingga selepas pilihan raya Israel. Kini, kami diminta menunggu pembentukan kerajaan pula.

“Sekiranya ada pihak yang ragu-ragu mengenai undang-undang kemanusiaan antarabangsa, perkara ini bukan alasan yang boleh diterima, seperti yang telah ditegaskan oleh masyarakat antarabangsa dan Lembaga Keamanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, PBB sudah memperincikan pelan bagi membawa masuk bekalan yang diperlukan, termasuk tempat perlindungan yang tahan lasak, pakaian panas, selimut, peralatan tempat tidur dan peralatan pemanasan yang selamat, selain generator, bahan api, minyak enjin, alat ganti serta peralatan untuk mengepam keluar air, mengalihkan sisa runtuhan dan membersihkan kawasan daripada peluru dan bahan letupan.

“Jangan berlengah lagi. Buka semua lintasan sempadan, bukan hanya satu. Benarkan rakan kongsi penting kami daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjalankan tugas. Benarkan pasaran komersial berfungsi. Hentikan hukuman kolektif ini. Sediakan dana untuk pelan berkenaan. Hentikan penderitaan yang boleh dijangka dan dicegah ini. Dunia bukan tidak berdaya dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Haq yang memetik Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), berkata banjir pada hujung minggu lalu memburukkan lagi krisis sanitasi akibat peperangan.

“Tiada satu pun loji rawatan air buangan di Gaza yang masih beroperasi ketika ini,” katanya.

Haq berkata, di Bandaraya Gaza, air hujan yang bercampur dengan kumbahan berisiko melimpah keluar dari kolam takungan air hujan Sheikh Radwan, dengan hanya dua daripada enam pam masih berfungsi.

UNICEF berusaha mendapatkan kelulusan pihak berkuasa Israel sejak lebih setahun lalu untuk membawa masuk peralatan yang diperlukan bagi membaiki kemudahan berkenaan.

“Dana kemanusiaan dan kelulusan Israel amat diperlukan segera supaya bekalan dan jentera yang mencukupi dapat dibawa masuk ke Gaza,” katanya.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel ke atas Gaza mengorbankan lebih 74,600 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 176,000 orang yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain memusnahkan 90 peratus infrastruktur wilayah itu. – BERNAMA-ANADOLU