BUENOS AIRES: Lionel Scaloni terus diberi kepercayaan membimbing Argentina apabila melanjutkan kontraknya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan itu sehingga Julai 2030.
Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) mengesahkan lanjutan kontrak itu, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan pengendali berusia 48 tahun berkenaan yang sebelum ini dijangka tamat pada Disember 2026.
Scaloni sebelum ini pernah menimbulkan tanda tanya mengenai masa depannya selepas Argentina tewas kepada Sepanyol pada final Piala Dunia, Julai lalu.
Bagaimanapun, kejayaan membimbing La Albiceleste merangkul kejuaraan Piala Dunia 2022 serta dua gelaran Copa America terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pengendali pilihan untuk menerajui pasukan itu.
Presiden AFA, Claudio Tapia berkata, pembaharuan kontrak berkenaan akan menyaksikan Scaloni dan barisan kejurulatihannya terus mengendalikan Argentina bagi tempoh 2027 hingga 2030.PlayNextMute
“Ini satu kegembiraan buat semua anggota jawatankuasa eksekutif AFA, selain seluruh rakyat Argentina,” katanya.
Scaloni turut menyambut baik perkembangan itu sambil menegaskan beliau masih memiliki semangat dan keterujaan sama seperti ketika mula mengendalikan pasukan berkenaan.
“Saya masih mempunyai keinginan dan keterujaan seperti hari pertama, selain gembira kerana dapat meneruskan tugas ini.
“Saya berterima kasih dan kini satu perjalanan baharu bermula,” katanya.
Awal minggu ini, Scaloni mengumumkan senarai 28 pemain bagi aksi persahabatan antarabangsa November, iaitu pemilihan pertamanya sejak Lionel Messi mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa.
Pertahanan Chelsea, Aaron Anselmino, 21, mendapat panggilan sulung ke skuad senior, manakala Gonzalo Montiel dari River Plate dan pertahanan Parma, Mariano Troilo kembali disenaraikan.
Argentina dijadual menentang Uruguay dalam aksi persahabatan hujung minggu ini sebelum melayan kunjungan Costa Rica minggu depan.

