Siapa sangka makanan yang disediakan di hospital kerajaan kini menjadi perhatian ramai apabila pelbagai hidangan yang dikongsikan pesakit dilihat begitu menyelerakan, malah ada yang menyamakannya dengan sajian di hotel.
Jika dahulu makanan hospital sering dikaitkan dengan hidangan ringkas seperti sup kosong dan sayur rebus, perkongsian beberapa pesakit di media sosial memperlihatkan pengalaman berbeza apabila mereka menikmati pelbagai menu menarik sepanjang menerima rawatan.
Perkara itu menjadi perbualan hangat di Threads selepas seorang guru, Saffuan Jaffar berkongsi gambar makanan yang diterimanya ketika berada di Hospital Pulau Pinang.
Netizen Puji Makanan Hospital Macam Restoran 5 Bintang
Menerusi akaun Threads @saffuan_9w2sfj, Saffuan memuat naik gambar set hidangan lengkap nasi dalcha bersama sup panas yang disediakan pihak hospital.


Perkongsian tersebut menarik perhatian ramai sehingga meraih ratusan ribu tontonan, sekali gus membuka ruang kepada pengguna lain untuk berkongsi pengalaman masing-masing.
Malah, Saffuan turut berseloroh mengenai keenakan makanan yang dinikmatinya sepanjang berada di hospital.
“Patutlah aku makin gemuk. Semuanya sedap.”
Perkongsian itu kemudian dibanjiri pelbagai respons daripada bekas pesakit yang turut memuji hidangan disediakan di beberapa hospital kerajaan dan pusat perubatan universiti.
Siap Ada Spageti Bolognese Dan Ayam Panggang
Antara yang paling mencuri perhatian ialah perkongsian ibu-ibu yang pernah mendapatkan rawatan bersalin di hospital awam.
Seorang pengguna Threads, @raihan_yussuf berkongsi gambar menu ala Barat yang pernah diterimanya ketika berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


Antara hidangan yang dikongsikan termasuk spageti bolognese serta pasta bersama ayam yang kelihatan cukup menyelerakan.
Melihat gambar makanan tersebut, seorang pengguna lain, @fatma3819wati tidak dapat menyembunyikan rasa kagumnya.
“Mak aih, macam bersalin dalam hotel.”
Sementara itu, pengguna @nadzirahzakariya turut berkongsi pengalaman menikmati makanan ketika menunggu waktu bersalin di Hospital Ampang.
Menurutnya, antara hidangan yang diterima ialah ayam panggang bersos yang disajikan bersama kentang goreng.
Malah, dia turut berseloroh bahawa makanan tersebut begitu sedap sehingga membuatkannya teringat kembali pengalaman berada di hospital berkenaan.
“Makanan masa tengah tunggu nak bersalin di Hospital Ampang memang sedap-sedap, tapi takkanlah nak kena bersalin lagi semata-mata nak rasa makanan hospital lagi, ya tidak?”
Netizen Puji Kemudahan Dan Makanan Hospital Kerajaan
Dalam pada itu, perbualan tersebut turut membuka mata orang ramai mengenai kemudahan yang disediakan di hospital awam Malaysia.
Selain rawatan perubatan, penyediaan makanan kepada pesakit juga merupakan sebahagian daripada penjagaan sepanjang mereka berada di wad.
Walaupun menu dan pengalaman setiap pesakit mungkin berbeza mengikut hospital serta keperluan pemakanan masing-masing, perkongsian tersebut memperlihatkan sisi positif perkhidmatan hospital kerajaan yang turut mendapat penghargaan masyarakat.
Tidak kurang juga yang mengingatkan orang ramai supaya sentiasa bersyukur dengan kemudahan perubatan dan makanan yang disediakan, khususnya ketika berdepan ujian kesihatan.
Sumber : Beatifulnara

