ANKARA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata pihaknya akan membuat pengumuman pada Isnin depan berhubung kadar tarif baharu yang bakal dikenakan terhadap 12 negara, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Saya telah menandatangani beberapa surat dan ia akan dihantar pada Isnin.
“Kemungkinan besar akan ada 12 jumlah berbeza… kadar tarif berbeza dan kenyataan berbeza untuk setiap satu,” katanya kepada wartawan.
Ketika ditanya apa negara bakal terbabit, Trump bagaimanapun enggan menyatakan secara terperinci.
“Anda akan dimaklumkan. Saya perlu mengumumkannya pada Isnin,” katanya ringkas.
Rumah Putih tidak memberikan maklumat lanjut mengenai sektor disasarkan atau kadar tarif yang bakal dikenakan.
Pengumuman itu dijangka merangkumi pelbagai kadar tarif dan kenyataan berasingan bagi setiap negara yang terbabit nanti.

