Harga beras putih akan diputuskan minggu depan – Anwar

PERMATANG PAUH – Kerajaan akan memutuskan harga kawalan beras putih minggu depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, harga kawalan itu akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL)  minggu depan.

Jelas beliau, pihaknya yakin harga beras dapat dikurangkan selepas beberapa perincian membabitkan penjualan bahan asas itu diteliti.

“Mesyuarat NACCOL terpaksa ditangguhkan atas hal-hal lain yang mendesak dan tak salah saya ia (mesyuarat) akan berlangsung minggu depan.

“Dalam mesyuarat itu nanti kita akan putuskan secara muktamad tentang harga kawalan beras.

“Harga beras tak boleh rendah sangat tapi saya yakin ia boleh dikurangkan jika kita teliti perolehan beras, pemberian kontrak serta keuntungan yang diperoleh,” katanya ketika berucap pada Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perda, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi.

Mengulas lanjut Anwar menegaskan, kerajaan akan menggunakan kuasa untuk mempertahankan rakyat dalam menangani isu kartel beras.

“Kita faham kalau rugi orang tak nak berniaga tapi janganlah ambil untung tinggi sangat kerana jika keutungan terlalu tinggi harga jualan di pasaran akan meningkat sekali gus membebankan rakyat.

“Pegawai kita tekun, bersungguh menjalankan tugas (teliti perolehan hingga pemasaran) sebab itu dalam beberapa hal seperti mana kita apungkan harga ayam jadi juga.

“Dulu ada kata kartel tunggu tapi siapa pun tak berani sentuh. Inilah masalah kerajaan terdahulu kalau bercakap di kampung berdegar-degar jihad, syariat macam-macam tapi bila nak berdepan dengan tauke-tauke kartel semua slow tak berani.

“Jadi baru-baru ini kita beritahu panggil dia (pengilang/pembekal) tanya berapa untung kalau lebih sangat kuasa kerajaan akan digunakan untuk pertahankan rakyat,” tegas beliau.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini.

Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengetuai Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) berkata, penetapan harga siling baharu dan tetap pada 19 Februari ini dan berada di pasaran pada 1 Mac. – MalaysiaGazette

One thought on “Harga beras putih akan diputuskan minggu depan – Anwar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *