SIBU: Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengadakan sidang perwakilan tergempar (EDC) di sebuah restoran di Sungai Merah, di sini hari ini, dikatakan untuk membentangkan satu resolusi bagi membubarkan parti itu.
Sidang tertutup itu dihadiri Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh; timbalannya Dr Johnichal Rayong dan Setiausaha Agung, Baru Bian, bersama kira-kira 400 perwakilan.
Satu salinan notis EDC bertarikh 1 Februari itu yang dilihat BERNAMA, dihantar kepada penasihat, pengerusi cawangan dan perwakilan PSB.
Bagaimanapun, ketika dihampiri pemberita selepas mesyuarat selama dua jam sejak 3 petang itu, Soon Koh enggan mengulas sama ada resolusi untuk membubarkan parti itu dibentangkan.
Sebelum beredar untuk makan malam, semua yang hadir merakamkan foto berkumpulan dengan seseorang di belakang melaungkan slogan ‘Hidup PDP’.
Media juga melihat apa yang kelihatan seperti susunan borang dengan logo Parti Demokratik Progresif (PDP) di atasnya.
Sidang tertutup itu dipercayai sebahagian daripada proses penggabungan PDP dan PSP berikutan memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing dan Soon Koh pada 13 Julai lalu.
King Sing ketika ditemui media semasa berkunjung ke kediaman Soon Koh sempena Tahun Baharu Cina, 12 Februari lalu juga tidak mengulas lanjut perincian penggabungan itu, tetapi berkata masanya belum tiba.
Bagaimanapun, katanya, proses itu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang, sambil menambah sebarang bentuk penggabungan tidak akan mengakibatkan pilihan raya kecil.
PSB yang juga parti pembangkang memenangi empat kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-12 Sarawak pada 2021, iaitu Bawang Assan yang disandang Soon Koh, Engkilili (Rayong), Ba’kelalan (Baru) and Batu Lintang (See Chee How).
Bagaimanapun, Chee How meninggalkan PSB pada Ogos 2022 untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas di Sarawak.
PDP, komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menerajui Kerajaan Sarawak, mempunyai lima kerusi DUN, terdiri Tasik Biru (Dato Henry Harry Jinep), Krian (Friday Belik), Meluan (Roland Duat), Dudong (King Sing) dan Marudi (Datuk Dr Penguang Manggil).
Parti itu juga mempunyai dua kerusi Parlimen, iaitu Bintulu yang turut disandang King Sing dan Baram (Datuk Anyi Ngau). – BERNAMA