Anggota tentera maut nahas 3 kenderaan di lebuh raya

SLIM RIVER: Seorang anggota tentera maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan tiga kenderaan termasuk sebuah lori polis, di Kilometer (KM) 379 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, malam tadi.

Mangsa, Mohamad Hafizz Yusof, 28, mengalami kecederaan parah akibat nahas itu sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu pada jam 11.14 malam tadi.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah lori tiga tan jenis Isuzu milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), motosikal Yamaha 125ZR dan kereta Nissan Almera.

“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati sebaik saja tiba di tempat kejadian, pemandu lori berumur 39 tahun yang dalam perjalanan dari Batu Uban, Pulau Pinang, ke Shah Alam, Selangor, telah memberhentikan kenderaan itu di lorong kecemasan selepas lori terbabit dipercayai rosak.

“Beberapa minit kemudian, terdengar bunyi dentuman kuat dari arah belakang sebelah kanan lori itu kerana dilanggar motosikal yang ditunggang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akibat rempuhan itu, Mohd Hasni berkata, mangsa tercampak ke atas jalan lalu dilanggar sebuah kereta mendatang di lorong kanan yang dipercayai tidak sempat mengelak.

Beliau berkata, mangsa terseret kira-kira 100 meter (m) sebelum kereta terbabit berhenti di lorong kecemasan.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa yang bertugas di Kem Bentong, Pahang, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Slim River, untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Kredit: Berita Harian