Israel mahu hadkan waktu lawatan, solat di Masjid Al-Aqsa pada Ramadan

BAITULMAQDIS -Israel mahu menghadkan masa lawatan dan bersolat di Masjid Al Aqsa pada bulan Ramadan mengikut keperluan keselamatan, kata pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Namun, sumber kerajaan berkata, keputusan itu belum dimuktamadkan kerana masih dalam pertimbangan sehingga mendapat cadangan daripada perkhidmatan keselamatan.

Kenyataan itu dikecam oleh Hamas dan menyeru semua umat Islam untuk melawat Al Aqsa tanpa mengira masa.

Al Aqsa, salah satu tapak paling suci di dunia untuk umat Islam, terletak di puncak bukit di Kota Lama Baitulmaqdis, juga dihormati oleh orang Yahudi sebagai tapak kuil.

Peraturan untuk akses ke Masjid Al Aqsa ini sering menjadi punca konflik terutamanya semasa cuti termasuk pada bulan Ramadan.

Bulan Ramadan tahun ini bermula awal Mac.

Israel sering mengenakan sekatan pada umat Islam pada bulan Ramadan pada tahun-tahun sebelum ini.

Bagaimanapun, Majlis Fatwa Tertinggi Palestin pula mempertahankan umat Islam boleh datang ke Masjid Al Aqsa tanpa had dan sekatan.

Hamas berkata, rakyat Palestin harus menolak keputusan jenayah ini, menentang keangkuhan dan kesombongan pemerintah yang menduduki wilayah itu dan berpendirian teguh seperti Masjid Al Aqsa.

Pada April tahun lalu, polis Israel bertempur dengan penduduk Palestin di masjid itu semasa Ramadan.

Pergolakan ganas juga berlaku di situ pada Ramadan 2021 dan 2022. – Agensi

Source :