Kerajaan boleh laksana kembali dasar lalu, elak rakyat terus terbeban – Ka Siong

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar mempertimbang untuk meneruskan kembali beberapa dasar yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) sebelum ini seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST), berbanding memperkenalkan dasar baharu yang seolah-olah berupaya membebankan rakyat.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata Kerajaan Perpaduan boleh meneruskan dasar yang satu ketika dahulu dikritik dan dimaki hamun, kerana dasar terdahulu itu terbukti boleh membawa kebaikan kepada rakyat.

“Daripada cukai cukai barangan bernilai rendah (LVG), cukai barang mewah, peningkatan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan cukai keuntungan modal, pelaksanaan e-invoicing dan sebagainya.

“Saya rasa guna balik GST dengan penambahbaikan dalam sistem input dan pengurangan kadar GST. Tak salah kalau kita guna balik dasar lama asalkan untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya menerusi satu video dikongsi di Facebook beliau, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga seharusnya melaksanakan dasar rasionalisasi subsidi RON95 selepas selesai mengutip data secara menyeluruh dan jitu.

“Harus diingatkan bahawa polisi yang membebankan rakyat harus dilaksanakan melalui kajian saintifik, berfasa dan bukannya secara spontan.

“Dengarlah keluhan rakyat mengenai Pangkalan Data Utama (PADU), terutama dari segi keselamatan siber dan juga kesempurnaan dan kejituan data,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak harus mengetepikan segala fahaman politik dalam mencari penyelesaian terbaik untuk membantu rakyat.

“Saya masih ingat penyokong BN menelan tuduhan liar seperti jual negara, kehilangan macam-macam merasuah rakyat. Namun demi kebaikan negara, kita lihat dasar BN yang sebelum ini dituduh macam-macam, dapat diguna semula kerajaan asalkan ia membawa kebaikan.

“Ketepikan fahaman politik, buatlah yang terbaik seperti yang sepatutnya. Bacalah Pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Ekonomi (ETP), laksanakan semula GST.

“Saya yakin LVG cukai barang mewah dan cukai itu dan ini subsidi bersubsidi akan lagi membebankan rakyat dari golongan B40 ke T20,” katanya.