Menantu Muhyiddin bakal dituduh namun gagal dikesan – Azam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan akan membuat pertuduhan ke atas ahli perniagaan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan selepas beberapa kertas siasatan telah siap.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas pertuduhan ke atas Muhammad Adlan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu membabitkan beberapa dakwaan termasuk jenayah pecah amanah (CBT).

“Sebenarnya siasatan sudah dilengkapkan dan bersedia untuk membuat pertuduhan namun beliau masih gagal dikesan dan belum pulang ke Malaysia.

“Saya tidak ingat berapa pertuduhan yang akan dibuat ke atas beliau tetapi kalau tak silap ia membabitkan beberapa dakwaan mengenai jenayah CBT,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Ke-10 di sini hari ini.

Sebelum ini, SPRM telah mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

SPRM berkata, suruhanjaya itu cuba menghubungi dua lelaki terbabit yang juga seorang ahli perniagaan dan peguam secara terus dan menerusi peguam masing-masing.

Namun kedua-dua mereka enggan tampil memberi kerjasama.

Semakan rekod oleh SPRM juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu.

Setakat ini, tiada rekod menunjukkan kedua-duanya kembali ke Malaysia. – MalaysiaGazette

Source :