Budak 18 bulan dikhuatiri lemas terjatuh ke Sungai Kanowit

KANOWIT: Seorang budak lelaki berusia 18 bulan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke Sungai Kanowit di Nanga Germai di sini petang tadi.

Mangsa, Batrick Giling Bunau, dikatakan berada di tebing sebelum dilihat tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.

Ketika kejadian, ibu dan bapa mangsa tidak menyedari kejadian itu kerana sedang menjalankan kerja mengenjin padi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 6.16 petang.

“Pasukan bomba memulakan pencarian dengan teknik pencarian di permukaan, namun gagal menemui mangsa.

“Atas faktor keselamatan, usaha pencarian dihentikan jam 8 malam tadi dan dijangka diteruskan awal pagi esok,” katanya.

Kredit: Berita Harian