Sembilan termasuk warga Singapura cedera dalam kemalangan lima kereta

GOPENG – Sembilan individu termasuk warga Singapura cedera selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya melibatkan lima kereta di kilometer (km) 291.8 arah selatan, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu sekitar jam 12.44 tengah hari.

Katanya, sejurus selepas itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dan dibantu BBP Simpang Pulai diatur gerak ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, kemalangan itu mengakibatkan kesemua mangsa yang berusia antara 20 hingga 30-an termasuk dua warga Singapura mengalami kecederaan.

“Enam mangsa telah dirawat pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dikejarkan ke hospital, seorang mangsa diberi rawatan oleh ambulans Kementerian Kesihatan (KKM), manakala dua lagu mangsa mengalami cedera ringan.

“Pasukan penyelamat mengaplikasikan konsep menyelamat bagi memastikan tiada situasi bahaya, selain memberi rawatan awal kepada mangsa terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa direkodkan dalam kemalangan jalan raya itu.

Operasi yang diketuai Komander Operasi Mohd Rozairi Abdul Rahim itu tamat pada jam 1.55 tengah hari.

Terdahulu, Plustrafik menerusi laman sosial X memaklumkan, kemalangan itu mengakibatkan trafik sesak 6 km susulan lorong kiri dan kanan terhalang. – MalaysiaGazette

Source :