Kosmetik beracun rosakkan buah pinggang, saraf

KUALA LUMPUR: Kegagalan fungsi buah pinggang, kanser kulit dan gangguan hormon, adalah di antara risiko penyakit menanti pengguna produk penjagaan diri dan kosmetik yang mengandungi bahan kimia pengganggu endokrin (EDC) yang penggunaannya kini semakin meluas berikutan mudah diperoleh secara dalam talian.

Walaupun mengandungi bahan terlarang seperti hidrokuinon, steroid, tretinoin dan merkuri, namun ramai yang terpengaruh untuk mengguna produk berkenaan berikutan keupayaannya memberi kesan pantas dalam menghasilkan kulit bebas cela.

Antara produk yang dikesan mengandungi bahan terlarang itu termasuklah losyen atau krim pelembab, krim malam, krim pemutih, produk penjagaan rambut dan krim pelindung sinar matahari, yang lazimnya digunakan pada wajah serta tubuh badan.

Pakar estetik, Dr Abdul Jamil Jamal Buhari, mendedahkan empat bahan kimia itu juga membuatkan masalah kulit yang dialami pengguna menjadi lebih teruk, apabila penggunaannya dihentikan dan masa sama menyumbang kegagalan fungsi buah pinggang, kanser serta gangguan hormon apabila digunakan berterusan.

“Pengusaha kosmetik biasanya memalsukan dokumen pendaftaran produk sehingga memperoleh kelulusan pihak berkuasa sebelum memasarkan produk bahaya itu secara meluas dalam talian demi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

“Produk itu membuatkan masalah kulit bertambah teruk, berjerawat, jeragat berikutan kandungan hidrokuinon membuat kulit kemerahan, depigmentasi, terdedah sinaran ultra ungu (UV) dan berisiko menghidap kanser kulit.

“Kandungan tretinoin membuatkan kulit pedih serta mengelupas, hipersensitif kepada cahaya matahari dan keadaan tidak selesa, manakala merkuri menjadi punca kerosakan buah pinggang dan saraf, radang kulit serta mengganggu perkembangan otak janin bagi ibu yang mengandung,” katanya kepada BH.

Dr Abdul Jamil berkata, bahan kimia yang digunakan dalam produk itu juga boleh meresap ke saluran darah, seterusnya membuatkan wanita hamil yang menggunanya berisiko mengandung anak autisme, saraf janin tidak berkembang dan mengalami mudarat kesihatan, seawal tiga atau empat bulan selepas menggunanya.

Beliau yang juga pakar estetik di Klinik Pesona, mendakwa kosmetik dan produk kecantikan yang dijual dalam talian antara paling banyak mengandungi bahan terlarang dan memudaratkan kerana penjualannya sukar dikawal pihak berkuasa berbanding produk yang dijual secara fizikal di farmasi.

Katanya, produk mengandungi hidrokuinon, steroid, tretinoin serta merkuri, sememangnya cepat membantu melicin dan mencerahkan wajah pengguna.

“Namun, penggunaan yang berterusan menipiskan kulit pengguna. Sekiranya pengguna berhenti menggunanya berikutan masalah kulit menipis itu, 90 peratus wajah bakal dipenuhi jerawat teruk dan mengalami masalah pigmentasi.

“Kesan sampingan ini boleh dikesan seawal tiga atau empat bulan selepas produk digunakan, manakala mudarat dalaman seperti kerosakan buah pinggang selalunya mengambil tempoh lebih lama untuk disedari pengguna,” katanya.

Beliau berkata, apabila pengguna berdepan masalah sedemikian, pengasas atau penjual produk terbabit lazimnya memberi alasan pengguna membeli produk tiruan, sedangkan hakikat sebenarnya produk yang dijual mereka mengandungi bahan kimia terlarang.

Katanya, tindakan terhadap pengasas kosmetik yang menjual produk demikian juga sukar diambil kerana platform dalam talian yang digunakan sering hilang tanpa jejak, manakala produk yang disyorkan farmasi bagi tujuan penyembuhan pula tidak menunjukkan hasil.

“Ini kerana punca masalah itu jauh di dasar kulit yang sudah dipenuhi toksik,” katanya.

Beliau berkata, masalah kulit yang berpunca daripada produk terlarang hanya boleh dirawat dengan penggunaan antibiotik dan rawatan hormon yang mengambil masa jauh lebih lama daripada kebiasaan rawatan tiga atau empat bulan.

“Ada rawatan menjangkau tempoh lapan bulan, bergantung pada kandungan merkuri yang sudah meresap dalam kulit pengguna produk bahaya itu,” katanya.

Dr Abdul Jamil berkata, setiap bulan beliau menerima di antara 15 hingga 18 kes baharu membabitkan pelanggan yang mengalami kerosakan kulit yang berpunca daripada penggunaan produk mengandungi bahan EDC, kebanyakan membelinya dalam talian.

Akibat kekeliruan jantina

Profesor Kanan Jabatan Kimia Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, pula berkata kosmetik yang mengandungi bahan EDC memberi kesan buruk dengan mengganggu fungsi normal sistem saraf dan pembiakan.

“Selain racun perosak, EDC mempunyai dua kategori lain iaitu plumbum dan bahan tambahan biasa diguna dalam penghasilan pembungkus makanan daripada plastik. Ketiga-tiga ini biasa dimasukkan dalam kosmetik yang boleh menjejaskan kesihatan awam serta mengganggu sistem hormon.

“Tubuh manusia dikawal hormon dengan sistem endokrin mengawal segala-galanya, termasuk kitaran aktiviti seperti tidur dan bangun, tahap tekanan emosi, metabolisme dan kitaran pembiakan. Apabila sistem hormon terganggu berikutan kehadiran EDC, ia menyebabkan pelbagai masalah fisiologi.

“Ia seterusnya mengganggu dengan ketara proses pengawalseliaan utama badan seperti pertumbuhan, metabolisme, tindak balas tekanan, pembiakan, perkembangan seksual, tingkah laku jantina dan perkembangan janin,” katanya.

Pakar Kesihatan Reproduksi Lelaki di Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mahanem Mat Noor, pula mendedahkan yang EDC juga berisiko mengganggu kesihatan reproduktif yang boleh mengakibatkan kekeliruan jantina atau ‘transgender’.

“Di United Kingdom misalnya, saintis sudah lama membuktikan ada kehadiran EDC dalam sistem air negara itu yang boleh menyebabkan masalah kesuburan, terutama dalam kalangan lelaki dan hidupan haiwan akuatik.

“EDC boleh berpunca daripada pelbagai sumber termasuk ubat-ubatan yang tamat tempoh dan dibuang sebelum memasuki sistem air,” katanya mendakwa kebelakangan ini, tahap kesuburan lelaki di negara ini semakin merosot akibat pelbagai faktor, termasuk kesan EDC.

Terdahulu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melaporkan, sejumlah 32 sampel produk kosmetik dan penjagaan diri dihantar pihaknya untuk analisis makmal oleh Institut Kesihatan Pekerjaan dan Persekitaran Wonjin di Korea Selatan sempena persidangan di Seoul, yang disertai pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk dari Malaysia.

Daripada 32 yang diuji itu, 18 sampel didapati mengandungi bahan EDC seperti metil paraben; etil paraben (lima); propil paraben (10); isobutil paraben (satu); dan fenil paraben (satu).

Malah, pencuci badan jenama popular didapati mengandungi metil, etil dan propil paraben yang tinggi. Ia juga didapati mengandungi isobutil dan fenil paraben yang diharamkan Jawatankuasa Kosmetik ASEAN (ACC) sejak 2015.

Daripada 28 sampel lain, 15 didapati mempunyai label bahan yang salah.

CAP mendakwa, daripada lapan negara yang mengambil bahagian dalam persidangan yang berlangsung, Malaysia mempunyai peratusan tertinggi bagi label bahan yang tidak betul iaitu 53.6 peratus daripada sampel yang dihantar.


INFO EDC

  • Bahan kimia pengganggu endokrin (EDC) ialah bahan kimia yang mampu meniru, menyekat dan mengganggu hormon dalam sistem endokrin tubuh.
  • Antara bahan EDC ialah paraben, plumbum, hydroquinone, tretinoin, merkuri yang digunakan dalam kosmetik.
  • Phthalate terdapat dalam makanan dan Bisphenol A (BPA), bahan bagi pembuatan plastik.
  • EDC terdapat dalam produk cucian tangan, pencuci badan, ubat gigi, deodoran, cecair kumur, cecair pencuci wanita dan tisu bayi.
  • Wanita lebih terkesan dengan mudarat EDC disebabkan faktor fisiologi, solekan biologi dan penentu sosial.
  • EDC boleh menjejaskan kualiti sperma dan embrio
  • Produk kecantikan mengakibatkan masalah kepada janin dan perkembangan otak
  • Buah dan sayur juga disembur bahan kimia EDC.
  • Bahagian dalam makanan dalam tin juga diselaputi bahan mengandungi EDC

Bahan terlarang dalam kosmetik

Kosmetik beracun itu mengandungi Hydroquinone, merkuri, tretinoin dan paraben.

Hydroquinone

  • Menyebabkan kulit kemerahan
  • Hipersensitif
  • Menghalang proses pigmentasi (depigmentasi)
  • Mengurangkan perlindungan kulit daripada sinaran UV
  • Risiko Kanser Kulit

Tretinoin

  • Kulit pedih, tidak selesa dan mengelupas
  • Hipersensitif kepada cahaya matahari

Merkuri

  • Kerosakan buah pinggang dan sistem saraf
  • Kulit ruam dan inflasi
  • Mengganggu perkembangan otak kanak-kanak sekiranya produk diserap masuk ke kulit

Paraben

  • Boleh mengganggu hormon dalam badan dan membahayakan kesuburan dan organ pembiakan
  • Menjejaskan hasil kelahiran, dan meningkatkan risiko kanser.
  • Menyebabkan kerengsaan kulit
Source :