Muhyiddin rayu keputusan Mahkamah Rayuan

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat rayuan kepada mahkamah tertinggi selepas keputusan Mahkamah Rayuan memutuskan empat tuduhan rasuah berjumlah RM232.5 juta dikembalikan semula ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Presiden Bersatu itu melalui firma guaman Tetuan Chetan Jethwani & Company memfailkan notis rayuan itu di Mahkamah Persekutuan semalam merayu keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan pada 28 Februari lalu.

Pada Rabu lepas, tiga panel hakim sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin.

Keputusan itu dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S M Komathy Suppiah.

Panel berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf daripada segi undang-undang apabila memutuskan empat pertuduhan berkenaan tidak mendedahkan sebarang kesalahan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Mahkamah Tinggi pada Ogos tahun lalu membebaskan Muhyiddin selepas membenarkan permohonannya untuk membatalkan tuduhan terbabit.

Ketika itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan semua tuduhan tersebut.

Ia susulan empat pertuduhan itu didakwa tidak mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada 18 April tahun lalu, dengan memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan dikenakan terhadapnya pada 10 Mac 2023.

Muhyiddin  didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Selain itu, Pengerusi PN berkenaan masih berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang semuanya berjumlah RM200 juta. – MalaysiaGazette

Source :