Akibat berebut harta, abang, kakak ipar maut

IPOH –Pertelingkahan dua beradik berebut harta berakhir tragedi apabila abang dan kakak iparnya maut selepas cedera di bahagian kepala serta muka dalam kejadian di sebuah kebun sawit di kawasan Pantai Remis, dekat sini hari ini.

Kedua-dua mangsa yang maut dipercayai diserang menggunakan sabit oleh suspek yang berusia 61 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada anak saudara suspek berhubung kejadian tersebut sekitar 3.30 petang.

“Kejadian itu disyaki berpunca daripada perebutan harta yang menyebabkan berlakunya pergaduhan diantara kedua-dua mangsa dan suspek.

“Mayat kedua-dua mangsa yang berusia 74 tahun yang ditemui di dalam kawasan kebun sawit itu kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek terbabit telah berjaya ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung esok untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati,” jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut diminta untuk menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, Asisten Superintendan Ashazarul Khairi Ab Hamid di talian 012-508 7026 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

Source :