Hanafi berkata penetapan kerajaan bagi industri aeroangkasa serta peranti perubatan sebagai sektor pemangkin bernilai tinggi menyerlahkan lagi kepentingan dalam memupuk tenaga kerja mahir untuk menyokong pertumbuhan industri. – Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pusat Penyelidikan Kolaborasi dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) bersama Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) serta Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI) telah melancarkan geran peningkatan kemahiran RM30 juta untuk industri aeroangkasa dan peranti perubatan.
Susulan pelancaran itu, ketiga-tiga pihak telah menandatangani memorandum persefahaman untuk merasmikan perkongsian mereka yang bertujuan meningkatkan kemahiran bakat bagi memenuhi permintaan yang semakin kritikal dalam sektor bernilai tinggi, kata CREST dalam satu kenyataan semalam.
“Kerajaan mengiktiraf keperluan untuk kumpulan bakat berkaliber tinggi dalam memacu industri aeroangkasa serta peranti perubatan di negara ini termasuk telah memberi mandat kepada CREST untuk menguruskan geran dengan MAIA dan AMMI,” katanya.
Timbalan Ketua Setiausaha (industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Hanafi Sakri berkata penetapan kerajaan bagi industri aeroangkasa serta peranti perubatan sebagai sektor pemangkin bernilai tinggi telah menyerlahkan lagi kepentingan dalam memupuk tenaga kerja mahir untuk menyokong pertumbuhan industri.
“Dengan melabur secara strategik dalam program peningkatan kemahiran, kami membolehkan individu berkembang maju dalam industri dinamik ini, memupuk inovasi selain memacu Malaysia ke arah kemajuan ekonomi yang mampan selaras dengan wawasan Malaysia MADANI,” katanya.
Geran itu, yang distrukturkan untuk dilaksanakan dalam tempoh satu tahun, terdiri daripada empat program yang direka bagi menyasarkan aspek penting pembangunan bakat dalam industri.
Berdasarkan kenyataan itu, program pertama ini akan memenuhi keperluan tenaga kerja industri semasa, kerana ia menawarkan peluang kepada tenaga kerja sedia ada untuk meningkatkan set kemahiran mereka bagi memastikan mereka kekal relevan seiring dengan perubahan permintaan industri dan kekal berdaya saing dalam persekitaran pekerjaan.
“Geran ini juga direka bentuk untuk melatih dan menempatkan rakyat Malaysia yang menganggur yang akan dilengkapi dengan kemahiran teknikal yang diperlukan bagi pekerjaan dalam industri aeroangkasa dan peranti perubatan.
“Selain itu, geran itu disesuaikan untuk memperkukuh keupayaan teknikal institusi pendidikan dalam kedua-dua sektor, yang diselaraskan dengan keperluan industri.
“Program keempat, fakulti penamat, berdiri sebagai inisiatif intervensi awal yang direka khas bagi melengkapkan pelajar institusi pengajian tinggi dengan kemahiran serta pengetahuan penting untuk industri aeroangkasa dan peranti perubatan,” katanya.
CREST, MAIA, serta AMMI akan menerajui usaha kolaborasi ini dengan kerjasama syarikat dan institusi pendidikan yang berkaitan dalam sektor ini, tambahnya.