KUALA LUMPUR: Langkah segera dan jangka panjang bagi meminimumkan kesan musim panas dan kering ke atas aktiviti tanaman padi khususnya di Sabah antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat melalui laman rasmi Parlimen, pertanyaan itu akan diajukan oleh Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.
Isu kesejahteraan pekerja sosial di negara ini pula akan dibangkitkan oleh Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Siti Zailah ingin tahu mengenai langkah yang diambil oleh kementerian terbabit bagi memastikan kesejahteraan pekerjaan sosial di negara ini dan status proses konsultasi terhadap Rang Undang-undang (RUU) Profesion Kerja Sosial (PKS) yang terkini.
Pada sesi sama, Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan tempoh tindakan yang akan diambil oleh pihak berkaitan dalam mengawal selia kecuaian pihak majikan sekiranya ada aduan daripada pekerja terhadap pihak berkuasa, contohnya kes kelewatan membayar gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Persidangan Dewan Rakyat juga dijadual membincangkan mekanisme yang dilaksanakan kerajaan bagi memendekkan tempoh giliran menunggu jemaah haji dan perancangan bagi mempercepat giliran jemaah haji yang berusia atau warga emas, yang dikemukakan oleh Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) kepada Perdana Menteri pada sesi soal jawab.
Pada sesi sama, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) meminta Menteri Komunikasi menyatakan sama ada kementerian telah memutuskan untuk mewajibkan semua penyedia perkhidmatan platform media sosial yang beroperasi di negara ini berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan kaedah kementerian memastikan tindakan itu tidak menyekat kebebasan media.
Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) pula bertanyakan kepada Menteri Pertahanan jangkaan perolehan status terkini pembelian 18 pesawat Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) FA-50 bernilai RM4.08 bilion bagi kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Selain itu, Sabri Azit (PN-Jerai) memohon jawaban daripada Menteri Pengangkutan tentang statistik kesalahan melanggar kamera perangkap had laju di seluruh negara dan sama ada kementerian bercadang menaikkan had laju kepada 120 kilometer per jam (km/j).
Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan menyambung penggulungan perbahasan RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023.
Turut disenarai dalam aturan mesyuarat itu ialah bacaan kali pertama RUU Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024 serta bacaan kali kedua RUU Perbekalan Tambahan (2023) 2024 dan RUU Polis (Pindaan) 2024.
Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 19 hari hingga 27 Mac ini. – BERNAMA