Black Hawk pertama dijangkakan tiba bulan depan – Panglima Tentera Darat

KUALA LUMPUR- Tentera Darat Malaysia (TDM) dijangka menerima penghantaran pertama helikopter Black Hawk pada bulan April ini selepas mengalami kelewatan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan Muhammad Hafizuddeain berkata, penghantaran peringkat pertama melibatkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan pasukan udara Tentera Darat.

“Penerimaan Helikopter Black Hawk pertama telah dimuktamadkan dan sepatutnya diterima oleh TDM pada November tahun tahun lalu.

“Namun, berlaku beberapa kekangan antara kontraktor dan pengeluar helikopter berkenaan menyebabkan berlaku sedikit kelewatan dalam penghantarannya.

“Bagaimanapun kontraktor telah memberikan janji mereka untuk menghantar helikopter pertama pada April ini dan saya harap ia dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai perkembangan perolehan aset helikopter pengangkut sederhana itu untuk tentera darat Malaysia.

Terdahulu beliau hadir pada Majlis Berbuka Puasa Tentera Darat di Masjid Thoriq bin Ziyad, Kem Perdana Sungai Besi hari ini. Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri.

Ditanya tentang faktor yang menyumbang kepada kelewatan itu, Muhammad Hafizuddeain bagaimanapun enggan membuat sebarang spekulasi dalam perkara itu.

Beliau menegaskan, TDM amat memerlukan perkhidmatan helikopter berkenaan bagi tujuan latihan dan operasi.

”Kita sebagai pengguna amat memerlukan perkhidmatan helikopter ini untuk tujuan latihan dan operasi dan kali ini amat amat berharap ia (penghantaran) dapat ditunaikan,” katanya lagi.

Pada Mei 2023 Kementerian Pertahanan telah memeterai kontrak sewaan empat helikopter Balck Hawk dengan syarikat tempatan Aerotree Defence & Services Sdn Bhd selama lima tahun bernilai RM187 juta.- MalaysiaGazette

Source :