‘Henti hina agama di platform media sosial, elak suasana tak harmoni’

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta menghentikan perbuatan menghina agama di platform media sosial bagi mengelak suasana tidak baik dalam masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, seluruh masyarakat berbilang bangsa dan agama sepatutnya menggunakan platform media sosial untuk merapatkan hubungan serta mengeratkan perpaduan.

“Ia jelas dalam al-Quran dan Islam agama yang melarang umatnya menghina orang lain, hatta menghina individu pun tidak boleh apatah lagi dalam konteks menghina agama lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Rahmah Ramadan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP): Ziarah Pusat Kebajikan dan Rumah Asnaf di Asrama Darul Falah (ASDAF) Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), hari ini.

Turut hadir Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.

Mohd Na’im turut menggesa orang ramai menghargai keamanan dan tidak mewujudkan suasana yang boleh merenggangkan hubungan serta menimbulkan kemarahan agama lain menerusi platform media sosial.

Terdahulu, MAIWP menyampaikan sumbangan RM14,500 kepada ASDAF untuk diagihkan kepada 58 penghuni pusat kebajikan itu sebanyak RM250 seorang.

“Untuk rekod, MAIWP menyalurkan bantuan kepada ASDAF dari 2019 hingga 2023 berjumlah RM610,000.

“Ini amanah yang mesti ditunaikan sebaik-baiknya oleh MAIWP untuk mengagihkan dana zakat disumbangkan umat Islam.

“Inisiatif hari ini hasil daripada dana zakat yang diterima daripada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan, dengan kutipan terus meningkat setiap tahun walau berhadapan pelbagai cabaran,” katanya.

Sementara itu, Mohd Na’im turut menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada tiga keluarga penerima zakat MAIWP yang setiap satu menerima RM500 berserta bakul rezeki disumbangkan pembayar zakat wakalah MAIWP di Flat Sentul Utama.

“Antara rumah dilawati sebentar tadi penerimanya ditimpa musibah hingga menyebabkan dia kehilangan pekerjaan, manakala isterinya tidak bekerja.

“MAIWP memberi bantuan bulanan kepada keluarga ini untuk meringankan beban mereka,” katanya.

Sehubungan itu menggesa syarikat, korporat dan individu yang belum membayar zakat di Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) untuk berbuat demikian.– BERNAMA