SC keluar perintah henti terhadap Quantum Metal Exchange kerana tawar saham kepada orang awam

KUALA LUMPUR -Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini telah mengarahkan Pengasas dan Pengarah Quantum Metal Exchange Inc (QMEI), Datuk Lim Khong Soon @ Lim Hock Seng untuk segera menghenti dan menamatkan penawaran saham QMEI kepada orang awam.

Tawaran saham QMEI yang sedang berjalan melanggar keperluan berkaitan di bawah undang-undang sekuriti, kata SC dalam satu kenyataan.

“Arahan henti dan tamat tersebut dikeluarkan berikutan penemuan SC bahawa QMEI menawarkan sahamnya kepada masyarakat awam Malaysia, termasuk melalui laman web/platform Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB) kepada ahli QMSB.

“Ini dilakukan tanpa mendapatkan pengiktirafan dan mendaftarkan dokumen pendedahan dengan SC, yang melanggar Seksyen 212 (5) Akta Pasaran Modal & Perkhidmatan 2007,” kata kenyataan yang sama.

Oleh yang demikian, SC juga telah meletakkan QMEI dengan butiran berkaitannya pada Senarai Makluman Pelabur SC http://www.sc.com.my/investor-alert.

Pelabur dinasihatkan supaya berhati-hati ketika menilai tawaran pelaburan. Orang awam digesa melaporkan kepada SC jika mereka mendapat tawaran produk pasaran modal daripada individu yang mencurigakan dan tidak berlesen di aduan@seccom.com.my atau hubungi +603-6204 8999. – MalaysiaGazette

Source :