Budak 4 tahun maut jatuh tingkat 16 kuarters Hospital Sungai Buloh

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 bangunan Blok B, Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh dekat sini, petang tadi.

Kejadian dilaporkan kepada pihak polis pada jam 4.28 petang sebelum sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh digerakkan ke lokasi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, hasil soal siasat awal ke atas ibu bapa mangsa yang berusia 30-an mendapati mereka seisi keluarga sedang tidur dan dipercayai tidak menyedari mangsa memanjat tingkap yang terletak di ruang tamu.

“Ibu mangsa yang bangun (dari tidur), mendapati anaknya sudah berada di bahagian luar tepi tingkap ruang tamu yang terbuka dan tidak sempat mendapatkan anaknya sebelum kanak-kanak itu terjatuh.

“Mangsa berusia empat tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang turut hadir di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Hafiz berkata, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk merekod keterangan ibu bapa mangsa.

Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Mohd Hafiz berkata, polis meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini untuk tampil membantu siasatan.

“Saksi boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi IPD Sungai Buloh di talian 03-61561222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.