PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan, tiada hari kelepasan am tambahan akan diberikan pada 12 April ini (Jumaat), sempena Aidilfitri.
“12 April ini kita kena ada semangat kerja,” kata Perdana Menteri ketika ditanya sama ada kerajaan bercadang memberi hari kelepasan am tambahan pada 12 April ini, yang jatuh pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Iftar MADANI di sini, hari ini.
Umat Islam dijangka menyambut Aidilfitri pada 10 dan 11 April ini, yang jatuh pada Rabu dan Khamis.
Pada tahun lalu, kerajaan memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri.