‘Wau bulan’ berlampu LED terangi malam di Pendang

PENDANG: Wau atau layang-layang pada kelazimannya dimainkan pada waktu siang sebagai aktiviti riadah masyarakat sejak turun temurun.

Namun akibat bahang panas pada Ramadan ini, penduduk Kampung Panchor di sini, memilih mengubah rutin bermain permainan tradisional itu pada malam, iaitu selepas menunaikan solat sunat terawih.

Justeru, mereka menghiaskan wau berkenaan dengan lampu LED dan aktiviti santai yang asalnya dimulakan lima anak muda, kini disertai hampir 40 pemain yang juga penduduk setempat.

Menurut Muhammad Ammar Mohd Kamal, 24, anak muda di kampung berkenaan mendapat idea bermain wau pada waktu malam berikutan cuaca terlampau panas walaupun pada lewat petang.

Katanya, wau terawal akan dinaikkan kira-kira jam 11 malam dan mereka akan bermain selama dua hingga tiga jam hampir setiap malam Ramadan.

“Kalau main wau pada waktu siang, cuaca agak panas jam 6.30 petang masih panas, ditambah pula sekarang 7.30 malam sudah masuk waktu berbuka, memang tidak sempat main wau lebih lama.

“Jadi kami main waktu malam, main malam cuaca lebih sejuk dan nyaman,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Seorang lagi penduduk Muhammad Firdaus Ahmad, 26, berkata bagi membolehkan mereka melihat wau yang diterbangkan, mereka mengubah suai wau masing-masing dengan memasang lampu LED.

Katanya, kos memasang lampu berkenaan tidak lah terlalu tinggi berikutan hanya memerlukan modal tambahan kira-kira RM2 bagi seunit lampu.

“Jika pakai lima biji lampu, hanya RM10 sahaja, manakala bateri pula boleh tahan sehingga tiga ke empat hari, rasanya ia sangat berbaloi.

“Uniknya sekarang, penduduk dapat lihat cahaya kecil yang bertebangan di langit selain ada bintang pada malam tertentu, ia sangat cantik dan berseri, sekali gus membuatkan pemain berasa lebih teruja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Komuniti Penduduk Kampung Panchor, Mohamad Mohd Saad, 65, berkata aktiviti bermain wau pada waktu malam sedikit sebanyak dapat mengelak daripada anak muda terjeremus dalam kegiatan tidak bermoral.

Katanya, aktiviti itu juga dilihat dapat mengeratkan hubungan silatulrahim antara penduduk setempat apabila ia turut disertai penduduk dari beberapa kampung berhampiran seperti Kampung Bechah, Kampung Charok Kudung dan Kampung Bukit Kechil.

“Aktiviti ini juga turut menjadi tarikan terbaharu buat anak Kampung Panchor yang berada di perantauan untuk pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri tahun ini, suasana di kampung akan lebih meriah.

“Malah ada orang kampung yang bekerja di luar tak sabar nak balik raya bila mereka tengok aktiviti ni dalam kumpulan WhatsApp, ada yang minta untuk teruskan aktiviti ini sehingga hari raya,” katanya.