3 ‘hero’ polis dalam video tular selamat mangsa kebakaran terima penghargaan

KUALA LUMPUR: Tiga ‘hero’ polis yang membantu menyelamatkan dua beranak dalam kebakaran di sebuah pangsapuri di Wangsa Maju pada 18 Mac lalu mendapat pengiktirafan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Mohamad Khairul, 32, Mohamad Hazieril, 31 dan Muhammad Shahrul, 25, yang masing-masing bertugas di Balai Polis Wangsa Maju masing-masing menerima sijil penghargaan yang disampaikan sendiri Razarudin di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Turut menerima sijil penghargaan adalah Koperal Sokongan Muhamad Nur Shahrul Andhar yang sering memaparkan video kebajikan di akaun TikTok yang seringkali mencecah jutaan tontonan.

Video pertemuan antara empat anggota itu bersama Ketua Polis Negara turut dikongsi di Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Razarudin turut menyelitkan beberapa nasihat kepada mereka untuk terus memberikan khidmat bakti terbaik kepada masyarakat, negara dan agama.

“Apa benda yang baik kita buat kena tunjuk supaya ia boleh dicontohi… sebenarnya, boleh saja ambil surat penghargaan ini di padang kawad seperti kebiasaan.

“Tetapi pada bulan Ramadan ini, saya beri peluang untuk ambil sijil penghargaan ini di bilik IG (Ketua Polis Negara) yang tak semua orang boleh masuk supaya situasi itu berbeza.

“Ada beza (ambil sijil penghargaan di bilik IG) supaya anggota lain boleh mencontohi usaha kamu semua,” katanya dalam pertemuan itu.

Terdahulu, media melaporkan tindakan pantas tiga anggota Balai Polis Wangsa Maju berjaya memecahkan pintu sebuah unit pangsapuri bagi mengeluarkan dua beranak yang diselubungi asap tebal ketika kebakaran di sebuah pangsapuri pada 18 Mac lalu.

Video mengenai kejadian itu mendapat perhatian Razarudin yang kemudian berkongsi penghargaan kepada mereka menerusi akaun Tiktok beliau.

Sementara itu, Nur Shahrul mengakui tidak menyangka orang nombor satu (Razarudin) mahu berjumpa anggota bawahan sepertinya untuk menyampaikan sendiri sijil penghargaan.

“Saya bersyukur apabila dapat panggilan daripada IG (Ketua Polis Negara) yang maklum nak jumpa sehingga saya tidak boleh tidur memikirkan orang nombor satu (PDRM) nak jumpa orang bawahan seperti saya.

“(Ini bermaksud) apa yang kita buat kat bawah selama ini, IG tengok. Apa kita buat baik, pasti akan dibalas baik. Ini menunjukkan IG sokong usaha kami.

“Anggota bawahan yang baik adalah contoh daripada bos (IG) yang baik,” katanya yang bertugas di Unit Cawangan Kereta Peronda, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, menerusi rakaman video dimuat naik di Facebook PDRM.