Syabu 312.7kg sembunyi dalam 5 kenderaan

SHAH ALAM: Polis merampas sejumlah 312.7 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM10.3 juta dalam serbuan ke atas sebuah rumah di sini, Rabu lalu.

Turut ditahan ketika serbuan, empat lelaki tempatan berusia 23 hingga 40 tahun yang disyaki berperanan sebagai ‘transporter’ dan kordinator.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin, berkata serbuan jam 7.30 malam itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan polis.

“Hasil serbuan di rumah teres berkawalan keselamatan itu menemukan 312.7kg dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM10.3 juta yang disembunyikan dalam lima kenderaan di rumah berkenaan.

“Dadah itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran di utara Malaysia dan dibawa ke Lembah Klang dengan kereta. Ia dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan luar negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Kok Chin berkata, siasatan mendapati semua suspek tidak memiliki rekod jenayah lalu dan hasil ujian saringan air kencing juga mendapati semua suspek negatif dadah.

“Keempat-empat suspek itu berperanan sebagai transporter dengan menerima upah minimum antara RM15,000 dan maksimum RM30,000 untuk membawa masuk dan mengedar bekalan dadah itu di Lembah Klang serta menyeludup ke luar negara.

“Salah seorang suspek adalah pengurus bas persiaran yang berperanan sebagai kordinator urusan dadah dengan upah RM30,000 untuk satu perjalanan, manakala tiga lagi suspek masing-masing pemandu bas dan dua peniaga kosmetik berperanan sebagai transporter,” katanya menambah sindiket itu dipercayai aktif sejak Oktober tahun lalu.

Kok Chin berkata, semua suspek direman enam hari sehingga 2 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Source :