Kastam KLIA patahkan penyeludupan barangan bernilai RM2.5 juta

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, menumpaskan kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barangan bernilai lebih RM2.5 juta menerusi tiga operasi berasingan bulan lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam JKDM Zon Tengah, Norlela Ismail berkata kes pertama membabitkan serbuan ke atas sebuah premis menjual minuman keras di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor pada 14 Mac lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan berjaya menemui pelbagai jenama disyaki tidak berkastam disimpan di dalam sebuah bilik rahsia dalam premis berkenaan.

Katanya, sebahagian barangan kes didapati dilekatkan dengan setem cukai disyaki palsu manakala beberapa keping setem cukai yang masih belum digunakan turut ditemui.

“Sebanyak 1,362.27liter minuman keras pelbagai jenama disyaki palsu, disita dianggarkan nilai RM69,400 dan melibatkan duti dan cukai berjumlah RM86,200.

“Seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun yang juga pekerja di premis itu ditahan. Siasatan kes masih diteruskan,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA di sini hari ini.

Norlela berkata modus operandi sindiket adalah dengan menyembunyikan pelbagai jenis minuman keras tidak berkastam di dalam bilik rahsia di premis berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1) (a) akta Eksais 1976.

Katanya, bagi kes kedua serbuan ke atas sebuah gudang di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 19 Mac lalu kira-kira jam 11.45 pagi, mendapati ia menyimpan dagangan besi yang diimport dari sebuah negara di Asia Timur.

“Semakan dokumen pengimportan mengesyaki wujud cubaan menyeleweng duti dan cukai dengan modus operandi membuat pengikraran dagangan sebagai di bawah kod tarif yang tidak tertakluk kepada duti dan cukai.

“Semua barangan dirampas membabitkan 82 gelung besi, dianggarkan berat 323,278 kilogram dengan nilai sitaan berjumlah RM1.36 juta manakala duti import RM204,900 serta duti RM711, 700,” katanya.

Norlela berkata kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat pengikraran tidak benar dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500, 000 atau penjara selama tempoh tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kes ketiga, beliau berkata JKDM menyita sebuah kenderaan mewah jenis Land Rover Range Rover SV Auto yang tidak mempunyai permit import (AP) dianggarkan bernilai hampir RM2 juta di Kompleks MasKargo, KLIA, di sini, Isnin lalu.

Katanya, kenderaan itu yang dipercayai dibawa dari Eropah, diperiksa kira-kira jam 4 petang hasil insitiaf pegawai kastam di kompleks berkenaan selepas dipercayai diimport tanpa AP daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI).

“Nilai dagangan yang disita dianggarkan RM1,097,300 yang membabitkan jumlah duti atau cukai dianggarkan RM1,884,000,” katanya sambil mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport kenderaaan motor pasang siap tanpa permit.