Tentera Israel berundur dari Hospital Al-Shifa – Hamas

GAZA: Kementerian Kesihatan dikendalikan Hamas di Gaza berkata tentera Israel sudah mengundurkan kereta kebal dan kenderaan tentera yang mengepung kompleks utama Hospital Al-Shifa, beberapa hari selepas pelancaran operasi besar di tapak itu.

Kementerian itu berkata puluhan mayat ditemui di kompleks berkenaan, di mana seorang wartawan AFP dan saksi melihat kereta kebal dan kenderaan berundur, namun tentera Israel tidak segera mengesahkan sebarang penarikan diri.

Saksi berkata, serangan udara dan bedilan serta tembakan peluru bertubi-tubi menghentam kawasan sekitar kompleks itu.

Pejabat media kerajaan Hamas berkata serangan udara Israel memberi perlindungan kepada kenderaan tentera yang menarik diri.

Tentera melancarkan operasinya pada 18 Mac, yang disifatkan sebagai operasi ‘ketepatan tinggi’ menyasarkan pejuang Hamas yang dituduh beroperasi dari kompleks itu.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sebelum ini mengatakan 200 pejuang terbunuh dalam pertempuran di dalam dan sekitar Hospital Al-Shifa.

Tentera juga mengeluarkan rakaman yang didakwa menunjukkan senjata dan wang yang dirampas dari hospital digunakan oleh Hamas dan satu lagi kumpulan pejuang, Jihad Islam.

Bagaimanapun, Hamas menafikan ia beroperasi dari Hospital Al-Shifa dan kemudahan kesihatan lain.

Puluhan mayat, sebahagian daripadanya sudah reput, ditemui dari dalam dan sekitar kompleks perubatan Al-Shifa,” kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan.

Tentera Israel ‘berundur dari kompleks perubatan Al-Shifa selepas membakar bangunan itu sehingga sama sekali tidak boleh berfungsi lagi’.

Seorang wartawan AFP di lokasi kejadian berkata beberapa bangunan di dalam kompleks itu telah rosak, dengan beberapa kawasan menunjukkan kerosakan akibat kebakaran.

“Skala kemusnahan di dalam kompleks dan bangunan di sekelilingnya sangat besar,” katanya.

Seorang doktor memberitahu AFP lebih 20 mayat ditemui dan ada yang hancur akibat digilis kenderaan tentera Israel yang berundur.

Susulan ribuan penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal akibat perang, ratusan mencari perlindungan di kompleks Hospital Al-Shifa, sehingga tentera Israel mula menyerbu Hospital Al-Shifa pada November, atas alasan ia melindungi pejuang Hamas. – AFP