‘SPRM perlu tumpu perangi rasuah secara habis-habisan’ – Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menumpukan usaha memerangi rasuah secara habis-habisan di negara ini.

Seri Paduka sekali lagi menegaskan bahawa memerangi ancaman rasuah sebagai musuh nombor satu negara adalah antara tumpuan utama dalam pemerintahannya.

“Sebagaimana saya tegaskan sebelum ini, My honeymoon is over, now go catch the bees,” titah itu disampaikan Seri Paduka ketika berkenan menerima mengadap Ketua Pesuruhjaya agensi antirasuah itu di Istana Negara pagi tadi.

Dalam hantaran di Facebook Sultan Ibrahim, pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit, menyaksikan Azam mempersembahkan mengenai perkembangan terkini agensi penguatkuasaan itu kepada Seri Paduka.

Dalam pertemuan itu, baginda turut berkenan mengurniakan sebekas madu lebah kepada Azam.

Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sebekas madu kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dalam pertemuan di Istana Negara pagi tadi. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sebekas madu kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dalam pertemuan di Istana Negara pagi tadi. – Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Pada 19 Mac lalu, Sultan Ibrahim bertitah, baginda akan memulakan cara pemerintahan yang sebenar selepas tempoh ‘bulan madu’ tamat apabila genap dua bulan baginda memegang tampuk pemerintahan negara.

Ketika itu, Seri Paduka menegaskan yang baginda memikul amanah Raja-Raja Melayu untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara.

“Saya bukan patung untuk disembah atau dijadikan perhiasan dalam majlis atau dipaksa mengikut segala kata dan kehendak menteri.

“Kurang dari dua minggu lagi, akan genap dua bulan saya memegang tampuk Ketua Negara. Apabila habis tempoh “bulan madu” iniā€¦, saya akan mulakan cara pemerintahan saya yang sebenar,” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada titah diraja sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2024 Di Istana Negara, pada 19 Mac lalu.