PH Selangor tubuh jawatankuasa utama gerak kempen PRK Kuala Kubu Baharu

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) Selangor akan menubuhkan beberapa jawatankuasa utama yang bakal bergerak secara rasmi bermula dari hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu hingga hari pengundian pada 11 Mei depan.

Setiausaha PH Selangor, Dr Mohd Khairuddin Othman, berkata perkara itu diputuskan selepas kepemimpinan tertinggi PH bermesyuarat bagi memuktamadkan pemilihan calon mewakili gabungan itu.

“Selepas mengadakan pertemuan hari ini, PH Selangor menetapkan penubuhan jawatankuasa utama sebagai persediaan PH mengekalkan kerusi dengan EXCO Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han dilantik sebagai Pengarah PRK Kuala Kubu Baharu.

“Ketetapan ini dibuat selepas Suruhanjaya Pilihan Raya pada Khamis lalu mengumumkan hari penamaan calon pada 27 April dan hari pengundian (11 Mei).

“Sze Han akan dibantu Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin; Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof dan saya sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, jawatankuasa itu akan menyelaras gerak kerja dan kempen yang akan dirangka oleh PH Selangor selain membuat persiapan serta menyelaras tugasan berkait kempen PRK terbabit dengan PH Pusat serta parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Seusai senarai calon yang dikemukakan oleh DAP diputuskan oleh PH Pusat, PH Selangor akan mengaturkan Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan bagi PRK Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Dalam pada itu, katanya sempena minggu terakhir Ramadan, PH Selangor mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam khususnya di Selangor dan seluruh negara.

“Semoga perjalanan pulang ke kampung masing-masing berjalan dengan selamat dan dilindungi Allah SWT,” katanya.

Khamis lalu, SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong, susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Lee, 58 yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013, meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.

PRK Kuala Kubu Baharu adalah PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.