Salah selamatkan Liverpool berdepan Manchester United

MANCHESTER, England: Mohamed Salah meledak jaringan penyamaan lewat menerusi sepakan penalti ketika Liverpool terselamat di Old Trafford hasil satu mata ketika seri 2-2 berdepan Manchester United seterusnya sama mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal.

Salah meledak pada minit ke-84 untuk jaringan keenamnya dalam liga di Old Trafford, terbanyak oleh mana-mana pemain pelawat dalam sejarah liga, mengambil alih kedudukan Steven Gerrard dengan lima gol.

Berbaki tujuh aksi dalam pemburuan gelaran, Liverpool dan Arsenal masing-masing mengumpul 71 mata dengan Gunners mendahului hasil perbezaan gol.

Juara bertahan, Manchester City ketiga dengan 70 mata manakala United keenam.

Luis Diaz mendapat gol pertama Liverpool pada minit ke-23 apabila hantaran Dominik Szoboszlai dari sudut menemui Darwin Nunez yang menanduk kepada pemain Colombia itu yang meledak voli dari jarak dekat.

Namun Bruno Fernandes menjaringkan gol hasil cubaan pertama ke sasaran pada minit ke-50 mengatasi penjaga gol Caoimhin Kelleher.

Kobbie Mainoo menggembirakan penyokong di Old Trafford hasil sepakan kencang ke penjuru gawang pada minit ke-67.

Liverpool bagaimanapun dihadiahkan penalti apabila Harvey Elliott dijatuhkan dalam kotak penalti. – REUTERS