Hulurkan, terima kemaafan iktibar Fathu Makkah

Petang ini, anak bulan Syawal akan dicerap di 29 lokasi di seluruh negara, manakala tarikh Hari Raya Puasa akan dimaklumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas diperkenankan Raja-Raja, sekali gus menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong pada malam ini juga. Di negara ini, cara menetapkan tarikh Aidilfitri adalah berdasarkan rukyah dan hisab, sekali gus menandakan syariat dan syiar Islam tidak terpisah daripada kehebatan ilmu serta kemajuan teknologi yang berlangsung dalam tatakelola penuh adab.

Tidak kira sama ada umat Islam beraya esok atau lusa, proses pelaksanaan tuntutan agama di negara ini berjalan selayaknya dengan kedudukan Islam termaktub sebagai agama rasmi Persekutuan dan dinaungi Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu. Majlis agama Islam negeri menjadi penasihat dan wakil kepada Sultan atau Raja dalam tadbir urus perkara berhubungan Islam, manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyelaraskan pentadbiran agama di seluruh negara.

Hakikatnya, kedudukan Islam di negara ini ibarat terpahat di batu bersurat yang tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan, malah tidak boleh diubah meskipun andainya ada gabungan parti politik memenangi pilihan raya umum (PRU) dengan mendapat kerusi dua pertiga mahu berbuat demikian. Ini kerana pindaan terhadap Islam, Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan Raja Melayu dan kewarganegaraan tidak boleh dilakukan tanpa perkenan Majlis Raja-Raja. Apatah lagi dalam keadaan tidak ada mana-mana parti politik secara sendirian dapat menjadi kerajaan.

Namun, kita akui Islam tidak kira di dunia Timur mahupun Barat, termasuk Malaysia akan sentiasa menerima cabaran kerana fitrah itu ditetapkan sejak azali lagi. Bagaimanapun, sirah Rasul terutama Rasulullah SAW menunjukkan Baginda menghadapinya bukan sahaja dengan tegas dan berani, bahkan secara bijaksana dan jiwa besar bertepatan dengan sifat fatanah dan rahmah.

Antara peristiwa penting pada Ramadan dalam sirah Rasulullah SAW atau setepatnya 10 hari sebelum Syawal tahun ke-8 Hijrah ialah Fathu Makkah atau pembukaan kota suci umat Islam. Ia bukan sahaja menunjukkan kebijaksanaan strategi Baginda hingga dapat masuk tanpa tumpahan darah, bahkan sifat tawaduk dan pemaaf hingga memaafkan semua penduduk Makkah kecuali sembilan individu yang melakukan kesalahan sangat besar tetapi itupun sebahagiannya turut mendapat pengampunan.

Justeru, umat Islam di negara ini sewajarnya mengambil pengajaran daripada sirah Rasulullah SAW ketika meraikan Aidilfitri dan menyambut Syawal dengan bersedia menghulurkan dan memberikan kemaafan kepada sesiapa mengaku salah tanpa menafikan implikasi undang-undang tetap ada. Pada masa sama, kita perlu menerima hakikat kedudukan Islam terjamin di negara ini meskipun mesti bersedia mempertahankannya daripada cabaran sama ada dari luar mahupun dalam negara. Namun, perjuangan itu seharusnya dalam kerangka syariat dan akhlak Islam serta undang-undang negara.

Selamat menyambut Aidilfitri, maaf zahir batin daripada Berita Harian.