Pengasas Vern’s mohon maaf, jadikan isu kalimah Allah satu pengajaran

PUTRAJAYA – Pengurusan Vern’s Holdings Sdn Bhd mahu menjadikan dakwaan isu logo kalimah Allah pada tapak kasut sebagai pengajaran agar tidak berulang pada masa depan.

Pengasasnya, Ng Chuan Hoo, 51, mengakui telah mendapat tunjuk ajar daripada pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam pertemuan mereka hari ini.

Beliau akan memberikan kerjasama penuh dengan pihak berkenaan sepanjang siasatan berkaitan perkara itu berjalan.

“Saya merasa terharu dan saya banyak terima kasih…mereka baik dan banyak beri tunjuk ajar kepada saya dan segala-galanya perlu JAKIM dan polis siasat.

“Selepas siasatan, langkah kedua yang perlu saya buat saya akan beri kerjasamalah,” katanya kepada media ketika ditemui selepas memberikan penjelasan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Chuan Hoo menegaskan, apa yang berlaku adalah salah faham namun memahami situasi kerana telah menyebabkan masyarakat beragama Islam tidak gembira.

“Dalam hal ni Ah Fuu (Chuan Hoo) minta maafah dengan isu ini…kebetulan saya nak belajar dari kesalahan ini supaya pada masa depan perlu lebih sensitif perlu hati-hati.

“Masa depan berniaga perlu hati-hati dan sama-sama hormat walaupun ini satu salah faham,” ujarnya yang memberitahu Vern’s merupakan produk jenama tempatan.

Sementara itu, katanya, beliau telah mengarahkan pekerjanya untuk menarik semula kasut-kasut berkenaan yang telah berada di pasaran kerana tidak lagi boleh dijual.

Source :