Hujan lebat, ribut petir di enam negeri sehingga jam 5 petang

KUALA LUMPUR: Hujan lebat dan ribut petir berserta angin kencang diramal mePerakmbadai beberapa daerah di enam negeri termasuk Sabah dan Sarawak sehingga jam 5 petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran menerusi laman X memaklumkan cuaca itu diramal di Perak membabitkan Hulu Perak dan Kuala Kangsar.

Di Pahang, katanya, cuaca itu diramal melanda kawasan Tanah Tinggi Cameron, Pekan dan Rompin; Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau); serta daerah Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor.

“Di Sarawak, cuaca itu dijangka membadai kawasan Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Limbang manakala di Sabah antara yang terjejas ialah kawasan Pantai Barat termasuk Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud selain Tawau (Lahad Datu),” katanya.

METMalaysia memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila wujud tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mililiter (mm) bagi setiap jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.

Orang ramai dinasihati sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.