PSM terus komited urus padang pelbagai guna

KUALA LUMPUR: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berterima kasih atas kurniaan rumput jenis hibrid di Stadium Nasional Bukit Jalil disumbangkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, PSM menyatakan kesediaan mereka untuk terus komited bagi menguruskan sebuah padang pelbagai guna yang berdaya tahan serta fleksibel untuk acara sukan dan bukan sukan.

“Seperti titah Baginda, rumput Zeon Zoysia yang telah dikurniakan kepada Stadium Nasional sebelum ini akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara, KL Sports City.

“PSM sekali lagi menyatakan rasa sukacita yang tidak terhingga dan menjunjung tinggi kurniaan berpanjangan serta pertimbangan dan kebijaksanaan DYAM Tunku dalam menasihati PSM dalam mendepani segala cabaran mendatang.

“Buat masa ini, PSM akan bekerja rapat dengan pihak pengurusan Stadium Larkin dalam rangka menerima rumput hibrid ini,” kata PSM dalam kenyataan berkenaan.

BH Sukan sebelum ini melaporkan gelanggang rasmi Harimau Malaya, Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi akan berwajah baharu apabila padang berkenaan akan menggunakan rumput jenis hibrid.

Rumput berkenaan disumbangkan Tunku Mahkota Ismail dan perkembangan terbaharu itu disahkan menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers.

Inisiatif itu dititahkan oleh Tunku Mahkota Ismail selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John, semalam.

Padang jenis Hybrid adalah gabungan penggunaan rumput asli dan juga rumput sintetik pada ‘ratio’ yang sama untuk memaksimakan kelebihan masing-masing.

Kualiti padang di Stadium Nasional sentiasa menjadi perhatian setiap kali apabila membabitkan aksi Harimau Malaya kerana ia turut digunakan untuk penganjuran acaran lain termasuk konsert.