PUTRAJAYA: Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di tujuh negeri bermula di Johor, esok.
Sekretariat majlis sambutan itu berkata, enam lagi Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 dirancang diadakan di Sabah pada 20 April, diikuti Melaka (22 April), Kelantan (2 Mei), Kedah (4 Mei), Pulau Pinang (5 Mei) dan berakhir di Terengganu pada 9 Mei.
Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 peringkat kebangsaan pula diadakan di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu dari jam 10.30 pagi hingga 3 petang, dengan Kerajaan Sabah menjadi tuan rumah, manakala Kementerian Perpaduan Negara selaku kementerian peneraju.
Bagi majlis di Padang Begonia, Angsana Johor Bahru Mall, ia bermula jam 4 petang hingga 7 malam, dengan Kerajaan Johor selaku tuan rumah dan Kementerian Pertahanan sebagai kementerian peneraju.
“Majlis ini akan dihadiri Perdana Menteri sebagai tetamu jemputan utama dan turut dihadiri menteri besar atau ketua menteri negeri berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, penganjuran majlis itu bagi memupuk semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat serta membolehkan pemimpin bertemu dan beramah mesra dengan rakyat.
“Majlis ini juga dapat memberi peluang lebih ramai rakyat meraikan hari kebesaran umat Islam bersama-sama pemimpin di peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya. – BERNAMA