AS tolak usul iktiraf keahlian Palestin dalam PBB

NEW YORK – Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto bagi menghalang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf negara Palestin.

Sekutu kuat Israel tersebut memberikan veto dalam Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk menafikan keahlian penuh Pihak Berkuasa Palestin dalam badan dunia itu.

AS berkata, sebuah negara Palestin yang merdeka harus ditubuhkan melalui rundingan terus antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin dan bukan melalui tindakan PBB.

Seramai 12 ahli majlis memberikan undi untuk menyokong keahlian penuh Pihak Berkuasa Palestin dalam badan dunia itu manakala dua lagi iaitu Britain dan Switzerland berkecuali.

Pengundian yang dilakukan dalam sidang Majlis Keselamatan PBB (UNSC) itu secara langsung menafikan Palestin keahlian penuh dalam badan dunia itu.

Palestin pada masa ini adalah negara pemerhati bukan ahli, pengiktirafan de facto kenegaraan yang diberikan oleh UNGA pada 2012.

Sementara itu Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, tindakan AS itu melakarkan masa depan yang suram bagi keseluruhan Asia Barat yang kini berada ‘di ambang perang’.

“Beberapa hari kebelakangan ini menyaksikan peningkatan yang berbahaya, baik dari segi kata-kata atau perbuatan,” katanya pada mesyuarat UNSC.

Beliau merujuk kepada serangan peluru berpandu dan dron Iran pada hujung minggu, sebagai membalas serangan ke atas konsulatnya di Damsyik, yang dituduh dilakukan Israel.-Agensi