Bas rempuh 11 kenderaan di persimpangan lampu isyarat

KUALA LUMPUR – Sebuah bas dipercayai milik Kolej Vokasional Batu Pahat yang mengalami masalah brek merempuh 11 kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Tan Swee Hoe di Jalan Kluang, Batu pahat, Johor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, tiada kecederaan dan kehilangan nyawa dalam kejadian kira-kira jam jam 10.30 pagi yang membabitkan sebuah bas, dua buah lori dan sembilan buah kereta.

“Siasatan awal polis di lokasi mendapati sebuah bas yang datang dari arah bandar Batu Pahat menghala ke Jalan Kluang telah hilang kawalan dipercayai brek gagal berfungsi sebelum merempuh 11 kenderaan lain yang sedang menunggu di persimpangan lampu isyarat itu.

“Bagaimanapun, kemalangan itu hanya membabitkan kerosakan semua kenderaan terbabit dan kecederaan ringan membabitkan orang.

“Polis sedang meneruskan siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya,” katanya.

Dalam pada itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan awam pada jam 10.43 pagi tadi mengenai kemalangan tersebut.

Katanya, bertindak atas maklumat kecemasan itu, sepasukan 15 anggota dengan sebuah jentera, EMRS dari Balai Bombadan Penyelamat (BBP)Penggaram telah dikejarkan ke lokasi nahas tersebut.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan 11 kenderaan iaitu sebuah lori jenis Daihatsu satu tan, lori jenis Hicom, sebuah bas Hino milik Kementerian Pendidikan, sebuah kereta Perodua Myvi satu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero, Perodua Viva, Hyundai, Alza serta sebuah kereta Mercedes Benz dan dua Toyota Vios.

“Pemeriksaan lanjut anggota bomba berjaya menemui seorang mangsa wanita yang didapagi tersepit di dalam kereta Vios yang remuk teruk itu sebelum berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

“Mangsa yang diselamatkan mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Batu Pahat untuk rawatan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette

Source :