Kami belum terima notis BERSATU – Syed Abu Hussin

KUALA LUMPUR: Enam ahli Parlimen BERSATU yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum menerima notis berhubung status kedudukan mereka dalam parti itu.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata beliau dan rakan yang lain masih menunggu surat berkenaan, selepas media melaporkan BERSATU akan menghantar notis kepada wakil rakyatnya yang menyokong Perdana Menteri selepas hari raya.

Walaupun diugut dengan pelbagai kenyataan daripada BERSATU kononnya kedudukan mereka sebagai ahli Parlimen tergugat, katanya, sehingga ke hari ini, beliau terus menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

“Yang saya tahu tak dapat lagi (surat daripada BERSATU). Setakat ini, saya pun tak dengar kawan-kawan yang lain dapat.

“Apa pun, saya seperti biasalah kerana hari ini saya ada di Parlimen Bukit Gantang untuk sambutan raya di kawasan saya.

“Saya jalankan tugas macam biasa. Sebagai hak ahli Parlimen dalam Perlembagaan (Persekutuan) telah dinyatakan, tiada ada sesiapa boleh ganggu (tugas saya),” katanya kepada BH.

Media sebelum ini melaporkan BERSATU akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan untuk meneruskan sokongan itu.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan parti itu, yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Ini selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 2 April lalu, meluluskan usul pindaan Perlembagaan BERSATU yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata jika enam Ahli Parlimen berkenaan kekal menyokong Perdana Menteri, selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti berkuat kuasa, iaitu kerusi Parlimen berkenaan akan dikosongkan.

Selain Syed Abu Hussin, lima lagi ahli Parlimen daripada BERSATU yang mengisytihar sokongan kepada Anwar ialah Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Selain itu, ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).