MIC akan turun bantu kempen PRK Kuala Kubu Bharu – PM

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan MIC tidak akan menyokong kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Katanya, ini kerana Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran ada memaklumkan akan turun membantu kempen PRK Kuala Kubu Bharu esok.

“Presiden MIC ada hubungi saya dan beliau akan tolong serta sebut tidak betul laporan kata dia tidak beri kerjasama, beliau akan turun esok (bantu kempen),” katanya kepada media selepas Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal di sini, hari ini.

Beliau ditanya pendirian MIC dan MCA yang tidak mahu terbabit dalam kempen PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu sekiranya kerusi itu tidak ditandingi calon parti komponen Barisan Nasional (BN).

Jumaat lalu, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.