Kelahi sampai langgar kereta jiran

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki dipercayai memandu kenderaan secara berbahaya dan mengancam keselamatan orang lain di sini baru-baru ini.

Tangkapan dilakukan pukul 6.15 petang pada 24 April lalu, kata Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood.

Menurut beliau, pihaknya bertindak sedemikian setelah satu video berdurasi 27 saat tular di media sosial pada 25 April.

“Bertindak atas maklumat, pada 24 April 2024,  sepasukan polis
daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Brickfields telah berjaya menjalankan tangkapan ke atas suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek yang berusia 35 tahun itu kemudiannya dibawa ke Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Majistret Kuala Lumpur kemudiannya membenarkan suspek direman selama tiga hari,” katanya.

Pada 25 April lalu, satu video berdurasi 27 saat dimuat naik oleh pemilik akaun X memaparkan sebuah kenderaan dipandu secara bahaya dengan niat mengancam keselamatan pemandu lain di sebuah parkir kediaman.

Ku Mashariman berkata, hasil siasatan awal mendapati pada 22 April lalu jam kira-kira 2.15 petang, pengadu berusia 40 tahun dan teman wanitanya telah bertengkar di dalam rumah dan menyebabkan bunyi bising.

“Suspek seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun merupakan rakan kepada penyewa lain di dalam rumah tersebut berasa berang dengan pertengkaran pengadu dan teman wanitanya.

“Selisih faham tersebut tidak terhenti di rumah dan menyebabkan berlakunya kejadian khianat kenderaan apabila suspek yang memandu kenderaan lain didapati dengan sengaja telah melanggar kenderaan pengadu yang keluar daripada parkir kenderaan,” katanya.

Source :