PAS nafi boikot kempen PRK DUN Kuala Kubu Bharu

HULU SELANGOR: PAS menafikan dakwaan parti itu memboikot jentera Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, susulan ketidakhadiran pemimpin mereka pada proses penamaan calon, pagi kelmarin.

Sebaliknya, Ketua Pemuda PAS negeri, Mohamed Sukri Omar, berkata penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Perlis adalah antara punca ketidakhadiran pemimpin PAS Pusat yang perlu menghadiri majlis berkenaan.

Beliau berkata, selain majlis itu, parti turut dijadual mengadakan mesyuarat PAS Pusat dengan ketetapan itu dimuktamadkan sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penting PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

“PAS Pusat sudah mengarahkan PAS Selangor berada di sini (Kuala Kubu Bharu) sepenuhnya dan tidak dibenarkan menghadiri program di Perlis.

“Jadi, pembahagian (tugas) sudah berlaku dengan PAS Selangor mewakili pemimpin PAS Pusat untuk turun ke siri kempen PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

“Seluruh jentera kita turun bekerja, selain ia turut membabitkan jentera PAS dari negeri berhampiran, antaranya Pahang, Melaka dan Perak. Justeru, tidak timbul isu PAS boikot jentera PN pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Media semalam, melaporkan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menegaskan ketiadaan pemimpin parti itu pada hari penamaan calon PRK DUN Kuala Kubu Bharu bukan isu besar.

Mohamed Sukri berkata, penyelarasan jadual pemimpin utama PAS, terutama sayap Pemuda dan Muslimat sedang dilakukan bagi membolehkan mereka menyertai siri kempen jentera PN pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

“Ada (pemimpin PAS yang turun membantu kempen PN). Kita boleh lihat ketika pengumuman calon, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turun berceramah. Jadi tidak timbul soal boikot.

“Pakatan Harapan (PH) ini mainkan isu PAS seolah-olah boikot untuk menunjukkan ketidakseimbangan dalam PN, sedangkan konflik itu berlaku dalam PH-Barisan Nasional (BN) apabila komponen parti dalam kerajaan Madani tidak turun berkempen bagi pihak mereka.

“PN sangat harmoni di Kuala Kubu Bharu. Kita berbeza dengan MCA sebab jentera PAS ‘solid’ turun ke PRK DUN Kuala Kubu Bharu,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Pemuda PN negeri berkata, gabungan itu sedang mempertimbangkan cadangan memfailkan petisyen berhubung penyalahgunaan aset kerajaan pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

Beliau mendakwa, PH menggunakan aset kerajaan untuk berkempen, antaranya peruntukan bernilai RM5.21 juta oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta keputusan kerajaan negeri mengadakan rumah terbuka di Kuala Kubu Bharu.

“Ini (dakwaan salah laku oleh jentera PH pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu) sedang dibincangkan pegawai undang-undang kami dan ia boleh jadi antara perkara yang akan dibawa dalam petisyen itu,” katanya.