Hantaran berkait projek kasino: Chegu Bard dituduh lagi esok di Johor

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard akan berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok, berhubung hantaran mengenai projek kasino di Forest City menerusi media sosial.

Perkara itu disahkan Chegu Bard selepas dihadapkan dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini kerana memfitnah dan menghasut untuk merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mendakwa akan dituduh esok mengikut Akta Hasutan 1948.

“Komentar di Facebook berkenaan nak membuka kasino yang dilaporkan Bloomberg. Hantaran saya menyatakan Bloomberg dan Business Times (Singapore) punya pautan, tetapi sampai hari ini Bloomberg tak ‘diusik’.

“AMK (Angkatan Muda Keadilan) tak membuat laporan polis kepada Bloomberg. Akhirnya saya sebagai rakyat Malaysia, saya memperingatkan.

“Ini bukan soal Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini maruah rakyat Malaysia dan implikasi terhadap Yang di-Pertuan Agong. Negara dan Peguam Negara perlu bertindak (dalam isu ini),” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah di sini hari ini.

Terdahulu, Badrul Hisham, 45, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan memfitnah dan menghasut dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah di mana beliau mempunyai sebab untuk percaya bahawa ia akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, jam 6 petang pada 22 Januari lalu.

Beliau juga berdepan tuduhan membuat penerbitan menghasut di Taman Bukit Cheras, di sini, jam 12.15 tengah hari, 6 April lalu.

Sebelum ini, Anwar, Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg, selain menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media itu berhubung laporan terbabit.

Bloomberg melaporkan Anwar menemui pengasas Berjaya Corporation Bhd, Tan Sri Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City minggu lalu.

Dalam pada itu, Chegu Bard mengucapkan terima kasih kepada pemimpin parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), rakan dan rakyat Malaysia di atas sumbangan bagi membayar wang jamin.

“Wang jamin dikumpul rakan dan rakyat. Tadi kena (bayar) RM20,000 jaminan dan esok tidak tahu lagi.

“Saya berjanji kepada seluruh rakyat Malaysia tidak akan berganjak seinci pun… ini persoalan ‘perang’ pertahankan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.