Papagomo dituduh pagi ini susulan kenyataan didakwa aibkan Agong

KUALA LUMPUR: Bekas EXCO Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali Papagomo akan didakwa di Mahkamah Sesyen pagi ini kerana membuat kenyataan menghasut yang mendatangkan kebencian kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Ia susulan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan menghadap Sultan Ibrahim berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.

Mengikut jemputan liputan media pertuduhan kes itu oleh Bukit Aman malam tadi, kenyataan menghasut itu dibuat pemilik akaun ‘Sir Azri’ di aplikasi X.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, peguam bela Papagomo, Muhammad Rafique Rashid dalam kenyataan mengesahkan anak guamnya itu akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk berdepan tuduhan mengikut akta berkenaan.

“Papagomo kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Dalam jam 9.15 malam tadi, saya memperoleh makluman daripada pegawai penyiasat bahawa arahan pertuduhan sudah dikeluarkan. Butiran lain akan dimaklumkan,” katanya.

BH melaporkan polis menahan Wan Muhammad Azri semalam kerana disyaki mengeluarkan kenyataan mengaibkan Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan itu dikesan dalam satu hantaran video berdurasi 2 minit 46 saat yang memaparkan Papagomo didakwa mempersoalkan tindakan Agong bertemu pemilik kedai serbaneka KK Mart di Istana Negara.

Hantaran video itu turut dikatakan mendakwa bahawa baginda mengarahkan Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard, dituduh di mahkamah mengikut Akta Hasutan 1948.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim sebelum ini, Kee Kan memohon maaf kepada baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah ‘Allah’ di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.