Gol tunggal Fuellkrug lonjak Dortmund

DORTMUND, Jerman: Penyerang Borussia Dortmund, Niclas Fuellkrug meledak gol babak pertama untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas pelawat Paris Saint-Germain (PSG) pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Nico Schlotterbeck membuat satu hantaran lambung yang menemui Fuellkrug dan penyerang Jerman itu mengawal bola dengan sentuhan pertamanya sebelum merembat leret melepasi penjaga gol Gianluigi Donnarumma pada minit ke-36.

PSG, yang baru saja ditabal sebagai juara Ligue 1 dan terdesak untuk memenangi trofi sulung mereka dalam Liga Juara-Juara, mendapati terlalu sukar untuk melepasi benteng Jerman yang penuh berdisiplin, terutama pada babak pertama dengan penyerang Kylian Mbappe banyak kali dikecewakan.

Kelab gergasi Perancis itu meningkat selepas rehat dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-52 dengan Mbappe melencongkan bola ke arah tiang gol dan kemudian percubaan Achraf Hakimi turut terkena tiang gol susulan bola muntah.

Hanya empat minit kemudian Fabian Ruiz menyaksikan tandukan kencangnya tersasar selepas tidak dikawal langsung dalam kotak penalti sebelum penjaga gol Dortmund, Gregor Kobel menafikan percubaan jarak dekat Ousmane Dembele pada minit ke-71.

Penyerang PSG, Kylian Mbappe (tengah) dihalang oleh pertahanan Dortmund, Mats Hummels (kiri) dan Nico Schlotterbeck pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Dortmund awal pagi tadi. – Foto AFP
Penyerang PSG, Kylian Mbappe (tengah) dihalang oleh pertahanan Dortmund, Mats Hummels (kiri) dan Nico Schlotterbeck pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Dortmund awal pagi tadi. – Foto AFP

Dortmund, juara pada 1997 dan mengintai peluang layak ke final pertama mereka sejak 2013, berjaya menyerap tekanan ketika pemain PSG, Vitinha terlepas peluang keemasan 10 minit kemudian sekali gus menyaksikan kelab Perancis itu perlu menang pada aksi kedua di Paris minggu depan.

“Kami berhak menang, satu persembahan sepasukan yang mantap,” kata jurulatih Dortmund, Edin Terzic. “Kami patut menjaringkan lebih banyak gol, begitu juga mereka.

“Itulah sebabnya keputusan ini OK daripada pandangan saya. Kami banyak berlari, tetapi ia memang diperlukan dalam perlawanan sebegini.

“Anda perlu berusaha untuk layak ke Wembley. Apa yang kami perlukan sekarang adalah seri pada aksi kedua, tetapi kami juga mahu menang minggu depan.”

Kemenangan itu juga mengesahkan Jerman akan meraih tempat kelayakan kelima bagi Liga Juara-Juara musim depan dengan Dortmund mendapat kelebihan itu ketika ini, menghuni tangga kelima Bundesliga dengan berbaki tiga perlawanan.

Pemenang perlawanan itu akan berdepan sama ada Bayern Munich atau Real Madrid, yang seri 2-2 pada aksi pertama awal pagi semalam di Munich. – REUTERS