Gambaran musim kami – Klopp

LIVERPOOL: Jurgen Klopp berkata, kemenangan 4-2 Liverpool ke atas Tottenham adalah gambaran sebenar musim mereka.

Kemenangan Liverpool itu merencatkan peluang Spurs untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris dalam kelompok empat teratas.

The Reds hanya menang sekali dalam lima aksi liga terakhir mereka, tetapi kembali menemui rentak apabila mendahului 4-0.

Mohamed Salah kembali berada dalam kesebelasan utama selepas bertegang urat dengan Klopp hujung minggu lalu, dan membuka jaringan sebelum Andy Robertson, Cody Gakpo serta Harvey Elliott turut menemui sasaran.

Richarlison dan Son Heung-min merapatkan jurang untuk Spurs tetapi harapan mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan semakin pudar.

Anak buah Klopp sudah pasti akan menamatkan saingan di tempat ketiga atau lebih baik, dan merapatkan jurang dengan pendahulu, Arsenal kepada lima mata dengan dua perlawanan berbaki.

“Ia adalah gambaran musim ini. Sangat-sangat bagus sehingga kami mula bermain buruk dan kemudian kembali baik.

“Apabila anda membenarkan mereka bermain, serta-merta mereka menunjukkan apa yang mereka mampu lakukan.

“Jika anda tidak membenarkan mereka bermain, anda akan menyakiti mereka,” kata Klopp yang mengendali perlawanan kedua terakhirnya di Anfield.

Spurs kini tewas empat perlawanan berturut-turut dengan skuad kendalian Ange Postecoglou masih ketinggalan tujuh mata di belakang Aston Villa yang menghuni tangga keempat, dan hanya sembilan mata berbaki untuk dikutip.

Tottenham perlu menang kesemua baki tiga perlawanan, termasuk di laman sendiri menentang Manchester City, untuk menghidupkan peluang memintas Villa.

Liverpool pula perlu mengharapkan kekalahan Arsenal dan Manchester City untuk menghidupkan peluang menamatkan karier sembilan tahun Klopp di Anfield dengan kejuaraan Liga Perdana Inggeris. – AFP